Belia Malaysia bukan kayu

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Nov: PAS mengingatkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa belia Malaysia bukan kayu yang tidak bernyawa, kerana mereka hidup di zaman langit terbuka dan maklumat di hujung jari.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, belia tahu menilai yang mana intan dan kaca.

“Generasi ini tidak senang melihat kepincangan yang berlaku di dalam negara kita.

“Mereka tidak akan biarkan setengah abad kedua diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab kepada negara dan generasi masa depan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas seruan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri di Seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen semalam supaya generasi muda tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya.

Menurutnya, seruan Muhyiddin itu sebagai satu kenyataan yang tersilap sasaran.

“Mungkin beliau membayangkan sedang berucap dengan perwakilan Umno yang terdiri daripada saluran satu yang hanya menelan maklumat melalui media lapuk Umno sahaja,” ujarnya.

Beliau menambah, sebagai generasi yang kritis dan mempunyai idealisme perjuangan yang tersendiri amat tidak sesuai untuk menyokong Umno BN di negara ini.

Katanya, mereka sudah boleh melihat contoh hidup yang telah dipamerkan oleh pimpinan negeri Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik dari segi ketrampilan, ketelusan dan ketertiban ketika melaksanakan mandat rakyat di negara ini.

“Macam mana Tan Sri Muhyiddin hendak menyeru supaya belia ini bersama dengan Umno BN, sedangkan mereka mengalami keperitan hidup lantaran sikap gelojoh dan boros pemimpin umno sehinggga memberi kesan kepada mereka untuk membina kualiti hidup yang lebih baik,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan