Betulkah Pas & DAP Tidak Serius Sokong PKR?

Mohd Sayuti Omar

KENYATAAN dan luahan rasa setiausaha politik Anwar Ibrahim, Abdul Rahman Yusof (foto) yang tidak puas hati dan kesal dengan Pas dan DAP dalam membantu kempen pilihan raya kecil melibat parti PKR yang bertanding di Batu Sapi 4 November dahulu sesuatu yang tidak wajar dibuka kepada umum.

Dalam pada itu keluhan Abdul Rahman itu tidak boleh dipandang ringan jikanya betul. Ianya perlu dipedulikan terutamanya oleh dua rakan mereka itu kalau tidak ia boleh memborak ke permasalahan lebih besar lagi.

Apa yang dikesalkan Abdul Rahman ialah sikap Pas dan DAP tidak seperti partinya dalam membantu pilihan raya kecil melibatkan parti berkenaan. 

Katanya, Pas dan DAP yang membantu pilihan raya di Batu Sapi memaksa PKR membayar segala kos bantuan itu dan ini tidak seperti diamalkan partinya.

Kata Abdul Rahman PKR ketika membantu pilihan raya kecil melibatkan DAP di Sibu dan Pas di Kuala Terengganu, Bukit Gantang atau Bagan Pinang tidak meminta apa-apa bayaran dan mengeluarkan wang poket sendiri.

Tentu Rahman ada bukti mengenai sikap Pas dan DAP dalam membantu kempen calon PKR dalam pilihan raya itu. Sebenarnya orang ramai juga dapat merasakan bahawa tidak ada kesungguhan Pas dan DAP untuk membantu Ansari Abdullah yang menjadi calon dan bertanding di pilihan raya kecil itu. 

Dari kejauhan jika diperhatikan pilihan raya di Batu Sapi tidak disertai secara bersungguh seperti mana Pakatan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Sibu yang membawa kemenangan.

Tanpa bukti masakan Abdul Rahman boleh melahirkan rasa terkilannya. 

Kekalahan teruk calon Pakatan Rakyat itu mungkin salah satu faktornya kerana tidak ada bantuan dan kerjasama daripada Pas dan DAP seperti mana dakwa Abdul Rahman.

Pun begitu sejauh manakah kebenaran dakwaan Abdul Rahman itu hanya parti komponen itu yang tahu? Orang ramai tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Yang dapat menjawab dan mengetahui apakah benar dan tidaknya ialah Pas dan DAP. Kebetulan kedua parti itu juga pernah terlibat dalam pilihan raya kecil.


Abdul Rahman mungkin boleh mengemukakan bil-bil bayaran atau invois yang belum dibayar yang dibelanjakan oleh mereka untuk membiayai pilihan raya melibatkan Pas dan DAP, seperti di Sibu ataupun di Kuala Terenggganu. Dan beliau juga boleh memperincikan apakah tuntutan yang dibuat oleh DAP atau Pas.

Logiknya kalau tidak betul dan tidak berlaku masakan Abdul Rahman mengeluarkan keluhan demikian. Dalam pada itu ada juga kedengaran PKR juga berbuat demikian meminta Pas atau DAP membayar perbelanjaan yang dibuat mereka dalam membantu pilihan raya melibatkan Pas dan DAP?

Apakah kerana PKR terlebih dahulu mengamalkan perbuatan demikian maka Pas atau DAP pula mengikutnya?


Biarlah kesalahan itu ditanggung oleh semua pihak. Tetapi apa yang hendak diperkatakan di sini, kes-kes seperti diluah oleh Abdul Rahman itu tidak sepatutnya berlaku. Baik Pas, DAP dan PKR perlu saling bantu membantu bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat. Sudah tentu kalau ada kepincangan dan sikap dingin antara satu sama lain boleh menimbulkan kesulitan dan masalah kepada Pakatan Rakyat di hari muka. Semua kena ingat pilihan raya umum sudah tidak lama lagi.


Saya tidak tahu apakah keluhan terbuka Abdul Rahman dalam Facebook kemudian diolah menjadi kenyataan akhabr yang dikirimkan oleh Abdul Aziz Anon kepada blogger itu satu tindakan bijak ataupun mendedahkan pekong di dada Pakatan Rakyat saja?

Harapnya PKR, Pas dan PKR dapat memperbetulkan persepsi ini dan menjamin agar kenyataan yang boleh melukakan dan menarik polemik sebegini tidak akan melata. Sebenarnya kes-kes yang terpendam di hati inilah yang boleh memborak menjadi barah merosakkan organ bernama Pakatan Rakyat. Adalah bijak kalau kasus begini ditimbulkan dalam mesyuarat bersama Pakatan Rakyat dan bukannya ditulis dalam Facebook atau twitter. [wm.kl. 5:15 06/11/10]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan