Di mana Ku Li?

Wartawan Kita
GUA MUSANG, 4 Nov: Pengundi di Dun Galas awal malam tadi dikejutkan dengan kedatangan agen-agen yang dipercayai Umno membawa bungkusan makanan dan wang ketika mereka sedang enak tidur.

Seorang penduduk di RPT Sungai Terah memberitahu kumpulan agen Umno datang membawa makanan dengan mengetuk pintu rumah penduduk antara jam 2 hingga 3 pagi.


Katanya bungkusan makanan itu dibawa dengan kenderaan dan diedar ke rumah-rumah setiap penduduk ketika mereka sedang tidur.


“Saya terkejut dengan bunyi bising yang berlaku. Apabila mengintai dari tingkat dilihat beberapa petugas membawa bungkusan makanan turun naik ke rumah penduduk.


“Tetapi mereka tidak datang ke rumah saya, cuma pergi ke rumah jiran-jiran saya,” katanya ketika ditemui selepas beliau bersama suami membuang undi di Sekolah Kebangsaan Tengku Mohamad Fa-iz Petra di sini, pagi tadi.


Seorang penduduk Cina di Kampung Baharu juga memberitahu ada agen yang membawa bungkusan makanan menemui penduduk sekitar jam 3 pagi tadi.


Katanya, kehadiran agen itu tidak dijangka memandangkan ramai petugas PAS dan Pakatan Rakyat sudah tidur.


“Kami tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan tidak ada petugas kita yang dapat memantau pergerakan agen Umno membawa makanan ke rumah penduduk ketika awal pagi,” katanya.


Malfrel bantah


Sementara itu, jurucakap Mafrel berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mengamalkan kaedah biasa membilang undi di tempat mengundi membabitkan pusat mengundi Orang Asal sebelum dibawa ke tempat penjumlahan.


Beliau berkata, sepatutnya pembilangan undi dilakukan di tempat mengundi terlebih dahulu sebelum dibawa ke tempat penjumlahan di Pusat Sivik, Gua Musang menggunakan perkhidmatan helikopter.


“Peraturan dibuat SPR itu boleh mendedahkan kepada penyelewengan kerana undi belum dikira ketika dibawa ke tempat penjumlahan.


“Kami akan menghantar nota bantahan kerana peraturan tersebut boleh mengundangkan ruang penyelewengan memandangkan tiada wakil –wakil dari parti yang bertanding ketika peti dibawa ke pusat penjumlahan di Dewan Sivik,” katanya ketika ditemui di sini.


Sukarelawan Mafrel diketuai Dr Abdul Halim Yusof memantau pilihan raya tersebut biar pun kurang mendapat kerjasama SPR.


Semalam PAS menghantar memorandum bantahan terhadap SPR kerana mahu membilangkan undi terlebih dahulu di tempat pengundian sebelum dibawa ke tempat penjumlahan.


Di mana Ku Li?


Sepanjang kempen sehingga tengahari ini bilangan petugas dan perayu PAS jauh mengatasi kehadiran perayu undi BN.


Malah di daerah mengundi Sungai Terah hanya kelihatan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Adun Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid dan beberapa penyokong Umno dari Jeli. Turut kelihatan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.


Namun media tidak dapat mengesan di manakah pengarah jentera BN, Tengku Razaleigh Hamzah.


Sedangkan ramai pemimpin Pakatan Rakyat kelihatan termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Strategik Keadilan, Tian Chua.
-harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan