Kelemahan Undang-Undang Halang Pekerja Terima Pampasan : MTUC


KUALA LUMPUR, 20 NOV: Pekerja di negara ini kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun apabila perintah pembayaran yang dibuat oleh mahkamah buruh dan industri "tidak mempunyai sebarang nilai" kerana ia tidak dapat dikuatkuasakan kerana terdapat kelemahan pada Akta Syarikat 1965.
   
"Selalunya, perintah berkenaan hanya wujud di atas kertas, terutama apabila sesebuah syarikat diubah namanya, sudah tidak aktif atau sudah gulung tikar.

"Dalam keadaan begini, perintah pembayaran itu tidak dapat dikuatkuasakan dan pekerja terbabit tidak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat, tapi tiada apa yang boleh dilakukan," kata Naib Presiden MTUC A. Balasubramaniam lapor Bernama. 

Beliau berkata dalam kes di mana syarikat terbabit dikenakan penggulungan,keutamaan akan diberi kepada pemiutang, manakala tuntutan pekerja paling sedikit diberi perhatian. Sehubungan itu, kata Balasubramaniam, tidak lama lagi MTUC akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendapatkan pembelaan bagi para pekerja malang itu.

MTUC mahu suruhanjaya itu, satu-satunya badan pengawal selia yang bertanggungjawab untuk mendaftar dan mengawasi perjalanan syarikat, menggubal undang-undang yang memberi keutamaan dalam melindungi kepentingan pekerja dan memastikan perintah mahkamah dapat dikuatkuasakan sepenuhnya dengan menutup semua ruang kelemahan yang ada, katanya. 
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan