Harakahdaily
IPOH, 8 Nov: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain (gambar) menasihatkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir segera bertaubat dan mengakui kesilapannya yang terpalit dengan perkara khurafat.
Menurutnya, adalah tidak wajar jika Menteri Besar Perak itu masih mempertahankannya sedangkan ianya jelas bercanggah dengan akidah umat Islam.
Zambry juga jelasnya cuba mengalihkan kesilapannya meletak ancak di tiang seri rumah dengan membangkitkan isu menyalakan lilin memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang disertai Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (Adun Titi Serong).
"Zambry sepatutnya mengakui kesilapan dia dan segeralah bertaubat.
"Perbuatan meletak ancak ke tiang seri, mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi, emas, perak, tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut adalah khurafat.
"Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar rakyat Perak menjauhi amalan tersebut, atau mana-mana amalan yang boleh menggugat akidah umat Islam.
"Akidah merupakan perkara teras dalam kehidupan umat Islam, jika akidah tergugat maka seluruh amalan yang lain turut tidak diterima Allah SWT," katanya.
Zambry semasa program Projek Infra Bina Upaya di Kampung Guar, Manong di Kuala Kangsar pada 17 Oktober lalu dilaporkan meletak ancak di tiang seri rumah kononnya untuk mengelakkan gangguan jin dan syaitan.
Ekoran itu juga, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria memberi teguran kepada Zambry yang didakwa telah mengadakan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Mereka juga telah menyatakan kesediaan bertemu Menteri Besar Perak itu bagi menjelaskan juga beza antara ritual yang lakukan Zambry dengan program menyalakan lilin yang disertai Nizar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan