V. Sivakumar ganti Kulasegaran sebagai timbalan pengerusi DAP Perak

Kulasegaran tetap dilantik sebagai naib pengerusi DAP Perak. — gambar fail

IPOH, 14 Nov: Timbalan Pengerusi DAP Perak M. Kulasegaran gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan sempena Konvensyen DAP Perak di sini hari ini.


Hanya seorang penyokongnya iaitu bendahari DAP Perak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jalong Leong Mee Meng yang terpilih dalam senarai 15 anggota jawatankuasa negeri.

Sebanyak 41 calon menawarkan diri pada pemilihan berkenaan.

Kulasegaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat bagaimanapun dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi DAP Perak.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham mempertahankan jawatannya bersama dengan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming.

V. Sivakumar, Adun Tronoh yang juga bekas Speaker DUN Perak semasa pakatan pembangkang memerintah sebelum ini terpilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Sebanyak 972 perwakilan menyertai pemilihan yang berlangsung di sebuah hotel di sini. Jumlah keseluruhan perwakilan yang sepatutnya mengundi ialah sebanyak 1,228 orang.

Sementara itu, Ngeh yang juga Adun Sitiawan berkata jawatankuasa baru yang dipilih itu bersetuju menubuhkan enam biro baru bagi meningkatkan perkhidmatan parti kepada masyarakat.

Enam biro itu ialah Perkhidmatan Perubatan, Pendaftaran Air, Biro Guaman, Pembangunan Ekonomi, Hal Ehwal Pengguna dan Kebajikan Sosial.
 -Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan