KUANTAN: Bekas wartawan Berita Harian, Patimah Ramli, 46, antara empat yang rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di KM119 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata tiga lagi yang maut dalam kejadian pukul 10.30 malam itu adalah pesara Jabatan Kerja Raya, Md Sharif Nani, 61, isterinya, Marinah Kambas, 60, dan anak saudara mereka yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28.
Patimah adalah adik ipar kepada Md Sharif.Johari berkata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya Rozlan, 18, hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dalam cuaca hujan lebat sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.
"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudiannya turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.
Menurut anak bongsu Md Sharif, Zaid, 20, ibu bapanya sedang dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang anak saudara di Marang, Terengganu dengan berkonvoi bersama tiga lagi kenderaan lain.
Katanya pada masa itu kereta yang dinaiki ibu bapanya tertinggal di belakang manakala tiga kereta lain sudah sampai di Segamat, Johor.
"Saya tidak mengikuti rombangan itu kerana berada di Kuala Lumpur dan kejadian itu diberitahu oleh seorang sepupu pada 2 pagi tadi," katanya yang kali terakhir berjumpa kedua-dua ibu bapanya pada 31 Oktober lalu.
Katanya ketika pertemuan itu dia mendapati sikap ayahnya yang agak pendiam dan tidak ceria seperti kebiasaan.
Sementara itu, pemandu treler berkenaan berkata ketika kejadian, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.
Rosli berkata kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah trelernya sebelum disusuli bunyi letupan.
"Kami berdua juga tidak sempat untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana ia sudah terbakar," katanya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan