PAS pertikai daftar pemilih baru

Dalam bahang pilihan raya umum yang semakin terasa, PAS kini semakin giat mempertikaikan ketelusan dalam daftar pemilih SPR.

Di Pulau Pinang, PAS negeri itu masih menuntut jawapan berhubung penambahan seramai 630 orang pengundi pos, seperti yang dikesan dalam kawasan parlimen Tasek Gelugor.
NONEMalah, seorang pengundi terlibat tampil berkata tidak tahu menahu mengenai status pemilihnya yang kini didakwa ditukarkan menjadi pengundi pos.

Guru berumur 29 tahun di Sarawak itu berkata, beliau sebelum ini mengundi sebagai pengundi awam.

"Saya tidak tahu (ditukar status menjadi pengundi pos)," katanya sambil memberitahu mengetahui perkara itu daripada seorang pemimpin PAS.

"Dia yang buat semakan dan beritahu saya sudah hilang kelayakan sebagai pengundi awam," katanya yang merupakan isteri kepada seorang anggota tentera yang bertugas di negeri itu.

Sementara itu, setiausaha jabatan pilihan raya PAS negeri Mohd Jamil Abdul Rahman berkata pertambahan pengundi pos itu dikesan sejak senarai pemilih berkenaan dipamerkan selama seminggu, berakhir pada 2 November lalu.

Mohd Jamil berkata, bantahan telah pun dikemukakan oleh PAS Pulau Pinang berhubung kes melibatkan guru itu dan juga beberapa lagi kes lain seumpamanya yang dikenalpasti.

"Kita buat bantahan kepada SPR sebab pengundi tidak diberitahu dia sudah jadi pengundi pos dan juga mengenai perubahan tempat mengundi.

"Bila tiba masa untuk mengundi, nama dia tak ada. Inilah yang menjadi masalah," katanya lagi.

Dakwaan 'pakatan jahat' SPR, ATM
Sementara itu, situasi yang lebih kurang sama turut ditimbulkan oleh PAS di negeri Kedah dengan dakwaan wujudnya "pakatan jahat antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)."
azizan razak and kedahDakwaan itu ditimbulkan sendiri oleh menteri besarnya Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mendakwa "berlaku penipuan dalam daftar pemilih di beberapa kawasan di negeri itu," seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri malah menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat SPR berhubung senarai pengundi baru yang dipamerkan baru-baru ini.

Menteri besar itu berkata, seramai 283 orang pemilih baru dikesan didaftarkan Kem Bukit Kayu Hitam.
NONE"Namun setelah disemak, nama terbabit adalah isteri anggota tentera. Peliknya kerana kem itu bukan kuarters keluarga, sebaliknya hanya tempat operasi," katanya yang dipetik dalam laporan tersebut.

Beliau juga menyebut mengenai senarai pemilih di sebuah pengkalan askar wataniah yang juga didapati terdiri daripada isteri anggota tentera.

"Macam mana isteri mereka dibawa ke kem berkenaan kerana itu pengkalan operasi dalam hutan. Tak ada keluarga tinggal di situ," katanya lagi dalam laporan berkenaan.

Namun, sejauh mana wujudnya elemen rasuah dalam dakwaannya itu setakat ini belum dapat dipastikan.

SPRM ketika dihubungi hari ini juga enggan memberikan ulasan sama ada akan menyiasat kes berkenaan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan