Pemilihan PKR 2010 : Azmin Hampir Pasti Timbalan Presiden, Izzah Teratas Naib Presiden


PETALING JAYA, 15 NOV: Azmin Ali hampir pasti ditabalkan sebagai Timbalan Presiden baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kongres akan datang selepas mendahului lebih 10,000 undi mengatasi pencabarnya Mustaffa Kamil Ayub.

Azmin kini mengumpul sejumlah 14,751 undi jauh meninggalkan Mustaffa Kamil Ayub yang hanya mendapat 3,401 undi selepas 165 cabang selesai pengundian semalam.

Naib Presiden pula hampir pasti digondol oleh Nurul Izzah Anwar, Pengarah Strategik PKR Tian Chua, Pengarah Pilihan Raya, Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman.

Keputusan rasmi menunjukkan Nurul Izzah mendapat 11,042 undi, Tian Chua 9,524 undi, Fuziah Salleh 7,878 undi, dan Mansor Othman 7,448 undi.

Manakala 20 MPP teratas setakat ini ialah Elizabeth Wong, Badrul Amin, Hee Loy Sian, Johari Abdul, Khalid Jaafar, Fariz Musa, Abd Rahman Yusof, Haniza Talha, Zakaria Abd Hamid, Siti Aishah, Ismail Yusop, Yusmadi Yusoff, Roland Chia, Abd Halim Hussain, Latheefa Koya, Shuhaimi Shafiei, Zamri Yusuf, Feliicia Ling, S. Kesavan, S. Manikumar. 

Sementara itu, persaingan sengit antara Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meraih 3908 undi mengatasi pencabar beliau bagi jawatan Ketua AMK Badrul Hisham Shaharin yang kini mendapat 3054 undi.

Zuraidah Kamaruddin pula hampir pasti mengekalkan Jawatan beliau sebagai Ketua Wanita dengan 4510 undi jauh meinggalkan Ketua Wanita Perlis Dr Suraya Sudin dengan 1181 undi.

Seorang lagi pencabar, Animah Ferrar hanya meraih 967 undi setakat ini.

Exco Selangor Rodziah Ismail juga jauh mengatasi pencabar beliau Asmah Abdul Kader bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita.

Rodziah kini mendapat 5167 undi meninggalkan Asmah dengan 1126 undi.
Hanya 57 cabang yang tinggal akan mengadakan pengundian pada minggu hadapan.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, seramai 8.4 peratus ahli telah menjalankan tanggungjawab mengundi.

Saifuddin menyatakan terdapat 298 aduan yang dibuat sepanjang pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dan 6 sahaja sepanjang pemilihan MPP ini.

"Semua 298 aduan semasa MATC ini telah diteliti oleh JPP manakala 6 aduan lagi sedang dalam proses penelitian. Kita boleh simpulkan pemilihan 165 cabang berjalan dengan baik," kata beliau. 
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan