Penoreh Getah Dipenjara 12 Tahun Kerana Rogol Anak Saudara

PUTRAJAYA: Seorang penoreh getah terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun kerana merogol anak saudaranya lima tahun lalu selepas rayuannya berhubung sabitan dan hukuman ditolak.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, memerintahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman tersebut mulai Isnin.

Sebelum ini, dia dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop, bagaimanapun mengenepikan hukuman sebatan yang dijatuhkan ke atas tertuduh kerana dia berusia lebih 50 tahun.

Dia terlepas hukuman sebatan mandatori yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan yang dipinda pada 6 Mac 2007 bagi lelaki berusia lebih 50 tahun yang disabitkan dengan kesalahan merogol kerana kesalahan itu dilakukan pada 2005.

Sebelum ini, lelaki berusia lebih 50 tahun terlepas hukuman sebatan.

Pada prosiding hari ini, lelaki itu cuba menyakinkan mahkamah supaya menarik balik dakwaan terhadapnya dengan mengemukakan surat daripada mangsa namun Suriyadi menolak permohonan itu dengan alasan kes tersebut telah berada di peringkat rayuan.

Pada 28 Julai 2006, Mahkamah Sesyen Taiping menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan enam sebatan terhadap tertuduh selepas mendapatinya bersalah merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun 11 bulan di kawasan hutan tanah perkuburan Cina Pokok Assam, Perak pada 10 pagi, 3 Jan 2005.

Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada 7 Mei tahun lepas.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan