Peserta Cheng Ho tertarik sistem pondok

PASIR PUTEH: Peserta Ekspo Cheng Ho mengakui tertarik dengan sistem pengajian Islam di pondok-pondok dan berhasrat untuk mempraktikkannya di negara mereka. 

Perkara itu diluahkan wakil Presiden Persatuan Kaligrafi Arab China, Badarudin Mao yang diberi kesempatan menyampaikan ucapan ketika mengetuai rombongan peserta Ekspo Cheng Ho ke Masjid Ibrahimi, di sini semalam. 

Menurutnya, peserta ekspo dari negara China berbangga kerana diberi peluang mengunjungi Kelantan yang memberi penekanan kepada pengajian agama. 

“Kami teruja melihat anak-anak dan orang muda mempelajari al-Quran, kami tertarik dengan pengajian pondok dan berhasrat mewujudkan sistem sama untuk orang Islam di China. 

“Walaupun Islam dibawa ke China oleh saudagar Arab 1400 tahun lalu, namun kami mahu mempelajari sesuatu daripada Kelantan,” katanya yang pertama kali ke Malaysia. 

Badarudin berkata, beliau juga tertarik dengan keunikan kesenian di negeri ini apatah lagi masyarakat dilihat hidup dalam suasana penuh harmoni walaupun berbilang kaum. 

Katanya, Kelantan adalah harapan orang Islam, berada di landasan betul ke arah menjulang kegemilangan agama pada masa akan datang. 

“Kunjungan kami ke negeri ini tidak sia-sia, banyak yang boleh dipelajari daripada pelbagai aspek sama ada pendidikan, ekonomi dan kesenian,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, perhubungan sebagai saudara seagama dengan rakyat China itu perlu dikekalkan. 

Menurutnya, rakyat Kelantan juga mendapat manfaat daripada Ekspo Cheng Ho dengan mengenal pasti peluang perniagaan sesuai. 

“Perhubungan dua hala ini bukan sekadar silaturahim, malah kita berpeluang mengembangkan perniagaan kerana rakyat China memiliki ilmu tinggi sehingga Nabi Muhammad menyarankan umat Islam belajar walau ke negara terbabit,” katanya.

-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan