Selangor ada 600 kilang kayu haram

Hampir 600 kilang Industri Berasaskan Kayu (IBK) di Selangor didapati beroperasi tanpa lesen kebanyakannya di tanah berstatus pertanian.

Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata hanya 263 kilang IBK di negeri itu mempunyai lesen untuk beroperasi secara sah.


Beliau berkata, jabatan itu berusaha untuk terus mengesan kilang haram yang wujud di Selangor, antaranya dengan membuat operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Katanya, 15 kilang haram sudah dikenakan kompaun berjumlah RM200,000 manakala dua lagi dihadapkan ke mahkamah dan selebihnya diberi amaran serta diarah mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa negeri.

Mohd Yussainy berkata, kebanyakan kilang haram itu didirikan di tanah berstatus pertanian sedangkan syarat pelesenan memerlukan kilang bertapak di tanah berstatus industri.

"Tanah berstatus industri adalah mahal di Selangor jadi mereka mengambil jalan mudah dengan mendirikan kilang mereka di hutan atau dengan kata lain tanah berstatus pertanian untuk menjimatkan kos mereka," katanya.

Mohd Yussainy berkata, walaupun kilang itu didapati tidak mempunyai lesen, namun 99 peratus kayu yang terdapat dalam industri berkenaan di Selangor diperoleh secara sah.

"Pihak kilang telah membayar cukai kepada pihak berkuasa negeri dan sumber di mana kayu tersebut diperoleh diketahui. Hanya kurang satu peratus kayu haram yang terdapat dalam industri di Selangor yang tidak dibayar cukai," katanya.

Selangor adalah antara tiga negeri pengeluar terbesar dalam IBK di negara ini.

Mohd Yussainy berkata, Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Pindaan 2010) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor dan ianya diharap dapat memberikan implikasi yang baik kepada IBK.

Katanya, hampir 90 peratus isi kandungan undang-undang itu telahpun diubah menjadi lebih ketat.

"Ini dapat memberi pengajaran kepada pemain industri supaya lebih serius mematuhi undang-undang berdasarkan kadar denda tinggi lebih tinggi yang telah diluluskan," katanya.

Katanya, denda yang dikenakan untuk kesalahan mendiri dan mengendali satu industri berasaskan kayu tanpa kelulusan pihak berkuasa dinaikkan daripada maksimum RM2,000 kepada RM50,000.

Dalam operasi terbaru semalam terhadap lima kilang papan yang dilakukan bersama RELA dan SPRM di Semenyih, dua kilang didapati menjalankan operasi mereka tanpa lesen yang sah. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan