SPRM Mula Siasat Yayasan Selangor


SHAH ALAM, 19 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap Yayasan Selangor yang membabitkan penganjuran ulang tahun ke-40 yayasan itu.

Semalam pegawai SPRM telah merampas fail dan dokumen dari Yayasan Selangor di ibu pejabatnya di bangunan Amcorp Mall Petaling Jaya.

Menurut satu sumber, pegawai SPRM telah merakamkan kenyataan daripada sekurang-kurangnya 10 orang termasuk kakitangan yayasan itu dan juga para pembekal untuk penganjuran program itu.

Ini adalah kali kedua SPRM ke Yayasan Selangor selepas pertama kali pada Isnin lepas dan menyoal siasat sekurang-kurangnya enam orang daripada jabatan kewangan.

Yayasan Selangor kini dalam siasatan ekoran dakwaan sejumlah wang digunakan untuk penganjuran majlis makan tengahari sempena ulang tahun ke -40 yang dikatakan berjumlah RM300,000,00.

Sebelum ini Sultan Selangor membatalkan untuk hadir dalam program tersebut kerana jumlah yang dibelanjakan untuk upacara itu tidak munasabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud dilaporkan berkata, pada pendapat Baginda kos makan tengah hari lebih daripada RM300,000 adalah amat tinggi dan membazir.

Menurut Ramli, Baginda berpendapat lebih berfaedah jika wang itu digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau membiayai lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan.

Sehubungan itu,pegawai kanan Yayasan Selangor diarahkan bercuti bergaji selama sebulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan terhadap perbelanjaan mewah bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu disiasat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan terhadap Timbalan Pengurus Besar Mohd Sharifuldin Sulaiman itu bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan