Rasa Kecewa Tiada Pada Pejuang : Nik Aziz

KOTA BAHARU, 5 NOV: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta para penyokong dan anggota PAS tidak kecewa berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti lebih besar, semalam.

Sebagai pejuang Islam, mereka tidak patut kecewa dengan keadaan itu yang dianggap sebagai suatu cabaran yang mesti dihadapi, kata Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pada majlis pelancaran kutipan derma untuk membina bangunan tambahan Masjid Mukim Panji di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkifli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata faktor penglibatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN akan dijadikan salah satu kajian dalam 'post mortem' PAS.

Katanya post mortem itu akan diadakan pada satu mesyuarat Ahad depan bagi mengkaji kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata walaupun pihaknya telah menduga kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu tetapi kemenangan BN dengan memperoleh majoriti besar agak mengejutkan mereka.

Abdul Halim yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa menolak kemungkinan kelemahan dalam pelaksanaan strategi menyebabkan kekalahan PAS itu.

"Kalau mengikut kebiasaan tradisi pilihan raya di Kelantan, kita jangka kalau kalahpun 600 hingga 700(undi) saja, tapi ini sampai 1,000. Ini agak mengejutkan kita," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan