Vell Pari Naib Presiden, Lapor Utusan: Samy Vellu Terus Cengkam MIC


SHAH ALAM, 27 NOV: Samy Vellu akan meneruskan cengkaman terhadap MIC walaupun mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden parti itu berkuatkuasa Januari 2011.

Ini adalah susulan laporan media milik Umno yang melaporkan anaknya, Vell Pari akan mengisi jawatan Naib Presiden parti itu tidak lama lagi.

Bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S Subramaniam yang ditemubual TV Selangor tidak menolak dakwaan tersebut justeru menyifatkan monopoli kuasa Datuk Seri Samy Vellu dalam MIC tidak akan lumpuh selagi kroni beliau masih berada dalam kepimpinan parti komponen Barisan Nasional(BN) itu.  

"Dari pengalaman saya dalam MIC selama 30 tahun, saya boleh mengatakan ini mungkin boleh jadi. Bukan sahaja dia (Samy Vellu) punya keluarga dan kawan-kawan mahu teruskan kuasa dalam MIC. Itu memang hasrat beliau dari awal," kata beliau.

Samy Vellu yang juga bekas Menteri Kerjaraya sebelum ini didesak Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC yang disandang beliau selama 32 tahun.

Subramaniam yang keluar parti MIC dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Julai 2009 berkata, amalan kepimpinan kronisme Samy Vellu lama bertapak dalam MIC dan menurut beliau lagi ia adalah hasrat pemimpin itu untuk terus mengekalkan kuasa walaupun bukan dalam bentuk fizikal.

Justeru jelas Subramaniam lagi, taraf kehidupan kaum India di negara ini akan terus kekal pada tahap rendah memandangkan tiadanya kredibiliti pucuk kepimpinan yang bakal menerajui MIC nanti.

Selain itu dakwa beliau, MIC tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang ingin membawa perubahan dalam parti itu justeru akan terus mengabaikan tanggungjawab terhadap kaum India di negara ini.

"Semua yang berkuasa dalam MIC dia punya orang. Dia tidak akan buka pintu untuk apa-apa hal dalam MIC. Dia punya cara untuk menjalankan kuasa dalam MIC untuk selama-lamanya.

"Semua ahli-ahli, ketua-ketua cawangan dia punya orang. Mana ada orang tentang keputusan oleh Samy. MIC tidak akan berubah selama-lamanya. Cakap sahaja," jelas beliau lagi.

Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel akan mengambil alih jawatan tertinggi parti itu bulan depan dan tempat beliau akan digantikan oleh S. Subramaniam.

Laporan akhbar itu juga menyebut SSothinathan ditawarkan menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PUsat (CVC) tanpa bertanding.

Pada Jun 2007, S. Vell Pari pernah dikaitkan dengan kematian aktres berusia 28 tahun yang juga merupakan bekas setiausaha peribadinya, K.Sujatha yang didapati mati kerana membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

Subramaniam juga dalam temubual tersebut sinikal terhadap kualiti kepimpinan G. Palanivel yang akan menerajui parti itu justeru menjangkakan MIC akan mengalami zaman pengakhiran tidak lama lagi.

"Dia (Palanivel) orang angkat beg. Dari dulu sampai sekarang dia angkat beg Samy Vellu sahaja. Apa dia tahu pucuk pimpinan. Tentu hancur lagi, kita pun nampak.

"Selama Vell Pari dan Samy Vellu punya geng ada memang saya rasa PKR lagi baik," kata beliau.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan