Dicekup dalam keadaan bogel

ALOR SETAR: Mungkin baru ingin melakukan hubungan intim apabila seorang wanita warga asing dari Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup dalam keadaan telanjang bulat dalam Ops Sapu yang dilakukan Jabatan Imigresen Kedah, semalam.

Ketika serbuan dijalankan di salah satu rumah sewa dua tingkat di Tanjung Kapor, Jitra, wanita berumur 35 tahun itu ditemui dalam keadaan bogel berdiri berhampiran almari selepas pasangannya yang berpakaian lengkap ditahan.

Manakala pada bahagian atas rumah itu pula, terdapat satu pasangan lagi yang turut ditahan ketika ingin melakukan hubungan intim.

Operasi yang diketuai Pengarah, Muhammad Hatta Kassim itu disertai 19 pegawai Imigresen telah melakukan serbuan di beberapa rumah sewa sekitar Jitra termasuk tapak pembinaan di Langgar.

Dalam operasi yang bermula jam 9 malam itu, 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk wanita berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Muhammad Hatta berkata, ketika pemeriksaan dijalankan di tapak pembinaan, terdapat pekerja asing bersembunyi dalam rumah yang masih dalam pembinaan, malah ada juga cuba melarikan diri namun berjaya dihalang anggotanya.

Operasi yang berakhir jam 4 pagi itu berjaya menahan tujuh lelaki warga Bangladesh; 12 warga Indonesia termasuk empat wanita dan 11 warga Myanmar termasuk seorang wanita.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 Pati yang ditangkap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali atau sebatan tidak lebih enam sebatan.

Manakala selebihnya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap lebih tempoh dalam negara yang boleh sabit kesalahan dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Hatta berkata, semua Pati yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai buruh binaan.

Ini berdasarkan tempat tinggal mereka.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat lagi mengenai majikan dan tuan rumah yang mengupah mereka bekerja dan membenarkan Pati yang ditahan itu menyewa di rumah mereka.

Beliau berkata, semua Pati terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. 
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan