Lagi kes kicap pekat berperisa cicak

Terengganu:
LAY OUT TOK SABOH- Lima sekeluarga yang tinggal di sini tidak menyangka keenakan makanan menggunakan kicap soya pekat yang mereka nikmati selama hampir sebulan rupa-rupanya bercampur bangkai cicak.

Mangsa, Wan Nilam Wan Ahmad, 58, berkata, bangkai cicak dalam kicap pekat jenama popular berharga RM3.80 yang turut mempunyai tanda sijil halal itu hanya disedari ketika salah seorang ahli keluarganya menggunakannya untuk digaul dengan nasi kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih parah kerana dalam botol kicap itu tidak hanya mengandungi seekor cicak.

Sebaliknya, dipercayai terdapat satu lagi bangkai haiwan bersaiz hampir sama manakala seekor lagi agak kecil.

Wan Nilam berkata, dia membeli kicap yang dibuat di Johor Bahru, Johor itu di sebuah pasar raya dekat Kuala Besut bulan lalu dan ketika itu dia tidak menyedari terdapat bangkai cicak di dalamnya.

“Saya menggunakan kicap jenama ini sejak sepuluh tahun lalu dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi bangkai haiwan.

“Kicap itu sudah hampir habis dimakan dan hanya disedari cucu saya, Norasyikin Nor Ariffin, 13, ketika dia ingin menuang kicap ke dalam nasi untuk makan tengah hari,” katanya.

Wan Nilam berkata, cucunya ternampak ‘makhluk asing’ dalam botol itu dan memberitahunya menyebabkan dia dan beberapa ahli keluarga lain muntah.

Menurutnya, selepas peristiwa itu, dia demam dan tidak selera makan begitu juga ahli keluarganya yang lain.

“Saya yakin cicak itu masuk dalam botol ketika diproses di kilang pengeluarannya.

“Ini berikutan, saya tidak pernah membuka tudung sebaliknya hanya membuka lubang kecil pada tudung botol itu ketika hendak menggunakannya,” katanya.

Wan Nilam berkata, disebabkan kedua-dua belah matanya kabur, ia menyebabkan selama ini dia langsung tidak perasan rupa-rupanya terdapat cicak di dalamnya,” katanya.

Wan Nilam berkata, dia sekeluarga kini berasa loya dan trauma selepas memikirkan insiden berkenaan.

Apatah lagi, selama sebulan ini mereka menggunakannya dalam masakan harian terutama cucunya yang sering menjadikan kicap berkenaan sebagai kuah. 
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan