Miskin Tegar Hapus, Menteri Guna Ukuran Mana- MTUC

SHAH ALAM, 24 DIS: Pengisytiharan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa tiada lagi golongan miskin tegar di kawasan bandar terutamanya di Kuala Lumpur dipersoalkan oleh pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud mahu Raja Nong Chik menjelaskan garis panduan dan ukuran yang digunakan beliau dalam mengenalpasti golongan miskin tegar ini.

Ini kerana realitinya, peningkatan kos yang berlipatganda di kawasan bandar telah memperbanyakkan lagi golongan miskin kota dan sepatutnya satu tanda aras jelas perlu bagi memastikan mereka yang kesempitan hidup di kota besar khususnya Kuala Lumpur.

"Berdasarkan apa yang ada di depan mata kitalah, kos hidup menaik, dari segi sewa, kos pengangkutan, dari segi makanan semua terus meningkat. Jadi bagaimana dikatakan kos kemiskinan itu terhapus,? soalnya.

Dalam laporan agensi berita Bernama semalam, Raja Nong Chik berkata, selain dari golongan miskin tegar terhapus, bilangan penduduk miskin dan mudah miskin juga telah dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun lepas.

Calon Setiausaha Agung MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid turut mempersoal tanda aras yang digunakan oleh kerajaan pusat dalam menentukan golongan miskin bandar.

Menurut beliau, sepatutnya tanda aras golongan miskin tegar bandar adalah RM750 sebulan di bandar besar dan bukan sama seperti di luar bandar.

"Sekarang ni kadar kemiskinan tegar adalah di bawah paras RM750 di bandar. Kalau samakan bandar RM750, dengan kadar sewa rumah RM300, dengan empat orang anak, tak jadi papa kedana orang itu," katanya.

Beliau kemudian memberi contoh golongan yang terjejas teruk dengan hal ini dan melabel 'pengisytiharan' Raja Nong Chik itu sebagai retorik politik Umno semata.

"Setahu kita rakyat miskin bandar sebagai contoh guru KAFA, Guru KAFA gaji dia RM 550, duduk di Kuala Lumpur. Kalau kita ambil sudut pekerja kilang di sempadan kuala lumpur, bagitau saya satu syarikat yang gaji minimum pekerja (bawahan)nya lebih dari RM 700? Ini semua adalah propaganda retorik bicara dipanggil," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan