Debra Chong
KUALA LUMPUR, 13 Dis: Editor kontroversial Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang baru-baru ini membantu mewujudkan barisan ‘third force’ menjelang pilihan raya umum ke-13 untuk membetulkan sistem politik, yang menurutnya “sudah rosak”, semalam mengumumkan bakal ‘calon’ sulungnya. Raja Petra yang berada di luar negara, dalam apa yang dikatakan sebagai keputusan pembuangan negara kendiri, malam tadi menamakan aktivis hak asasi manusia terkenal Malik Imtiaz Sarwar sebagai calon pertama Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
Beliau mengumumkan pemilihan Malik menerusi siaran Internet yang dibawa dari London.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Malik juga mengesahkan perkara itu.
“Ya, saya dipilih. Saya terima. (Saya) akan menjelaskan dalam satu dua hari ini,” kata beliau menerusi respons SMS kepada The Malaysian Insider sejurus selepas pengumuman oleh Raja Petra.
Malik terkenal dalam kes Lina Joy, yang memutuskan untuk keluar Islam dan kembali sebagai penganut Kristian.
Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) ini juga mewakili Raja Petra yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun lalu.
Kes itu membawa Malik memenangi anugerah Bindmans Law Award bagi tahun 2009, yang diberikan oleh majalah hak asasi manusia berpejabat di Britain.
Malik juga bergiat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan untuk mendesak agar ISA dikaji balik dan undang-undang itu dimansuhkan lalu digantikan dengan undang-undang yang lebih baik.
Beliau juga bertindak bagi pihak kerajaan negeri Selangor dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.
Isu barisan ‘third force’ juga menjadi perhatian ketika Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.
PKR merupakan salah satu komponen gabungan Pakatan Rakyat yang dibentuk April 2008.
Raja Petra juga berkata, calon-calon susulan MCLM akan diumumkan di Kuala Lumpur pada 19 Disember ini.
Pakatan Rakyat juga akan mengadakan konvensyen mereka yang kedua di Pulau Pinang pada tarikh tersebut.
Dalam program dua jam yang menarik 180 pengunjung atas talian, Raja Petra yang lazimnya melahirkan pendirian tegas dan lantang terhadap parti pemerintah berkata, gerakan ‘third force’ bukan satu inisiatif untuk bersaing dengan parti-parti politik yang ada sekarang, tetapi mahu menyediakan mereka calon-calon yang profesional dan beretika untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau percaya bahawa langkah itu akan membantu memperbaharui proses penggubalan undang-undang kelak.
“Matlamat kami bukan untuk memenangi pilihan raya semata-mata, tetapi melakukan pembaharuan ke atas sistem politik,” kata beliau yang turut melahirkan kekecewaannya ke atas anggota perundangan semasa yang telah lupa peranan mereka sebagai wakil rakyat, sebaliknya lebih fokus untuk terlibat dalam permainan politik.
“Agenda kami ialah mahu melihat kemunculan sistem dua parti, di mana kedua-dua parti boleh bersaing (berpadan) antara satu sama lain,” katanya lagi.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan