Rosmah yang merimaskan Najib

Ahmad Lutfi Othman
Dr Mahathir Mohamad, dalam tempoh 23 tahun pemerintahannya, sering dikritik kerana kerap menghalang penyertaan rakyat dalam proses-proses penting pembinaan negara. Malah, bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan sikap autoritariannya itu, dikatakan jarang mempedulikan pandangan pihak lain, meskipun daripada rakan-rakan dalam Kabinetnya.

Penguasaan Mahathir begitu mencengkam, sama ada dalam partinya, Umno mahupun kerajaaan. Personalitinya begitu mempengaruhi proses politik. Fenomena ini tidak jauh berbeda dengan watak Lee Kuan Yew di Singapura atau Suharto di Indonesia ketika mereka menerajui negara masing-masing.

Ada yang melihatnya sebagai "diktator yang dipilih melalui sistem demokrasi". Bekas timbalannya (Mahathir mempunyai tiga Timbalan Perdana Menteri yang tidak sempat mewarisinya), Musa Hitam pernah mendakwa beliau lebih banyak "bermonolog dalam mesyuarat". Tidak kurang yang mengusik, hobi Mahathir pun boleh dijadikan projek negara. Maknanya, apa jua keinginan Mahathir akan dilaksanakan biar menelan berapa banyak kos sekalipun.

Pandangan Mahathir lantang, pedas, terbuka dan terus-terang. Apa yang terbuku di hatinya itulah yang diluahkan. Kita tidak perlu mencari makna tersirat di sebalik kata-katanya. Ramai pemimpin yang cuba bersilat kata-kata, mahu menyedapkan hati banyak pihak walaupun hakikatnya jauh berbeda, tetapi berbeda dengan Mahathir. Misalnya kritikan beliau terhadap ulama dan hukum Islam dilontarkan tanpa berselindung sekali gus menjelaskan kejahilannya.

Beliau memang pernah dikritik kerana mengutamakan beberapa kerat "kitchen kabinetnya", yang dikenali dengan jolokan AIDS, iaitu Anwar Ibrahim, Daim (Zainuddin) dan Sanusi (Junid) terutama menjelang pemilihan Umno, April 1987, yang menyaksikan penentangan paling serius dalaman parti daripada Team B, yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, ia tidaklah sampai meletakkan Mahathir pada kedudukan yang lemah, sehingga segala keputusan penting kerajaan diputuskan oleh AIDS. Beliau tetap berkuku dan selalu dilihat memerintah secara solo. Tiada watak lain yang dirasakan memainkan peranan tersembunyi di sebalik tabir.

Berbeda sekali dengan penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, yang dikatakan tidak mempunyai "strong personality" walaupun lebih bersikap terbuka dan cuba menunjukkan beberapa pembaharuan dalam kerajaan. Perlantikan Abdullah sebagai PM begitu dialu-alukan terutama oleh sebahagian besar rakyat yang merasa tertekan di bawah regim Mahathir.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan