Label polis barua Umno, pemimpin Pemuda PAS bermalam di lokap

Beliau dilepaskan tengah hari ini selepas ditahan lebih sembilan jam di Balai Polis Johor Baru Utara.

Segala-galanya tercetus selepas beliau mempertikaikan tindakan polis membuat sekatan jalan di Taman Dahlia, Kempas Johor Baru malam tadi ketika ceramah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa perlu begitu ramai anggota polis membuat sekatan jalan raya di sini?

“Adakah kerana yang memberi ceramah itu pembangkang maka mereka (polis) membuat sekatan jalan raya?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut beliau, kehadiran sebegitu ramai anggota polis di kawasan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sesak selain mengganggu perjalanan ceramah.

“Sebelum ini kita pernah buat ceramah di kawasan ini tetapi tidak ada pula begitu ramai anggota polis yang mengawal, mengapa keadaan itu berlaku sekarang?” katanya.

Beliau berkata, sekatan jalan raya itu bermula pada pukul 7 petang dan ia melibatkan laluan-laluan utama di Taman Dahlia.

“Sepatutnya mereka (polis) kekang jenayah bukannya penceramah.

“Kalau dulu sekatan ini digunakan untuk menghalang komunis daripada masuk kampung untuk mendapatkan bekalan.

“Tapi itu semua sudah berlalu dan sudah tidak perlu lagi dibuat pada zaman sekarang kecuali untuk menangkap penjenayah,” katanya.

Suhaizan berkata, berang dengan kehadiran sebegitu ramai anggota polis beliau telah melabelkan mereka sebagai “barua” Umno dalam ucapannya.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan situasi tersebut dan dalam ucapan saya memanggil polis seperti barua Umno.

“Tindakan saya itu menyebabkan lapan anggota polis naik ke pentas lalu menangkap saya sebelum masukkan saya ke dalam lokap di Balai Polis Johor Baru Utara malam tadi,” katanya yang telah dilepaskan kira-kira pukul 12 tengah hari ini dengan jaminan polis.

Tambahnya, ketika ditahan kira-kira sembilan jam beliau mendapat kerjasama yang baik dengan anggota polis.

-malaysianinsider-

Dewan Muslimat Kelantan Usul Jawatan Timbalan Pesuruhjaya IV Untuk Wanita

KOTA BAHARU, 8 Mei: Dewan Muslimat PAS Kelantan mahu jawatan Timbalan Pesuruhjaya IV diisi oleh wanita sebagai memartabatkan peranan wanita sebagai tenaga penting dalam parti.

Usul itu dikemukakan dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri, di sini pada Sabtu.

Ketika ini PAS Kelantan mempunyai tiga jawatan Timbalan Pesuruhjaya, iaitu Timbalan Pesuruhjaya I disandang oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub; Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa; dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof berkata usul itu akan dibentangkan dalam muktamar agung PAS Kelantan bulan depan untuk mendapatkan persetujuan anggota parti di peringkat pucuk pimpinan parti peringkat negeri dan pusat.

"Ia bukan bertujuan untuk merampas hak golongan lelaki, tetapi sebagai mengangkat martabat golongan wanita yang mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya berbanding lelaki dalam senario politik sekarang dan masa depan, terutama dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Usul ini akan dibawa ke peringkat muktamar negeri bila ia diluluskan dalam perbahasan pada muktamar hari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian muktamar dewan itu.

Siti Zailah berkata peranan wanita dalam parti itu telah terbukti khususnya dalam pilihan raya.

Oleh itu, katanya, beliau mahu pucuk kepimpinan melihat golongan muslimat mempunyai peranan yang penting dalam memacu perkembangan dan pembangunan masa depan parti dari peringkat akar umbi ke peringkat pucuk pimpinan.

"Jika di peringkat Parlimen suara wanita dianggap penting untuk membincangkan soal dasar kerajaan dan parti, maka tidak ada sebab wanita di peringkat negeri (tidak) diberi hak yang sama," katanya.
-bernama-

Kempimpinan PAS Diingatkan Tentang Musang Berbulu Ayam Dalam Parti

KOTA BAHARU, 8 Mei: Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Sabtu meminta kepimpinan parti lebih berhati-hati dalam menerima penjawat awam dalam kerajaan dan parti supaya tidak berlaku apa yang dikatakan "infiltration" (penyusupan) atau wujud musang berbulu ayam dalam parti.

"Dalam pengalaman kita, perkara ini pernah berlaku. Bila dekat pilihan raya bila PAS mendapat sambutan, senario ini tidak mustahil berlaku.

"Sebab itu, kita perlu berhati-hati dan menapis setiap permohonan sebelum diambil bekerja dalam parti dan kerajaan...kita boleh menggunakan kaedah yang sama (untuk menjadi anggota) dalam parti," katanya.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu membayangkan kemungkinan wujudnya golongan itu berikutan perkembangan politik semasa yang menyebabkan ada anggota parti mudah berpaling tadah apabila mendapat tawaran lebih istimewa dari parti lawan.

"Berdasarkan pengalaman dan senario politik sekarang dibimbangi ia tidak mustahil boleh berlaku dalam PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kelantan di sini.

Sebelum ini, bekas Pegawai Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz mendedahkan beliau diperuntukkan RM4 juta oleh tokoh dan pemimpin parti itu dalam tempoh tiga tahun untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, sekali gus mengekalkan pentadbiran PAS di Kelantan.

Penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella itu juga mendakwa wujud anak syarikat kerajaan negeri Global Media Chanel (GMC) yang memain peranan bagi tujuan yang sama membabitkan lima pimpinan PAS, termasuk seorang anggota exco negeri.
-bernama-

Beza arahan dan pandangan peribadi

Zaid Ibrahim
Sultan Selangor telah bertitah bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja. Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik? Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?

Titah itu adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau “decree”. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu. Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik – untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Jadi tak timbul soal Tok Guru Nik Aziz melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Razak. Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor. Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian. Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan UMNO, maka mesti Najib bela. Sepatutnya Perdana Menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik.

Lagi dakwaan terbaru Polis menyebabkan kematian

SEORANG penduduk tempatan berbangsa Sungai, Liliyu Bin Suma, 72, semalam telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sandakan mengadu supaya polis di Malaysia tangkap dan dakwa anggota polis yang telah sesuka hati melepaskan tembakan menggunakan senjata api milik PDRM hingga menyebabkan kematian seorang anak lelakinya bernama Jalih Bin Liliyu (Mykad 760220-12-5991).

Dalam laporannya, diberi nombor daftar SDK/RPT/6639/2010 dan 6640/2010, Liliyu mendakwa pada 22 April 2010, lebih kurang jam 8 malam bertempat di batu 15 Jalan Labuk Sandakan, seorang anaknya bernama Jalih, telah mati akibat terkena tembakan di kepala.

Apabila ditanya mengapa dia mengambil masa begitu lama untuk membuat aduan kepada polis, bapa mangsa berkata dia dalam kebingungan dan tidak tahu apa yang wajib dilakukan.

“Saya bingung kerana nyawa seorang anak saya yang tidak berdosa telah menjadi korban hanya disebabkan dia lari kerana takut ditangkap polis sebab lesen memandunya mati.”

“Oleh kerana saudara saya, OKK Hassnar Haji MP Ebrahim baru sahaja sampai ke Sandakan, maka saya buat laporan polis sebagaimana dinasihatkan olehnya”

Bapa mangsa merasakan menembak mati anaknya hanya kerana enggan berhenti adalah keterlaluan.

Menurut OKK Hassnar, dia telah dimaklumkan tentang kejadian anggota polis menembak hingga mati Allahyarham Jalih sejak 23 April tetapi tidak ingin melibatkan diri berharap pihak polis akan bersikap telus dan jujur menyiasat serta mengambil tindakan terhadap penjenayah terbabit.

Dalam kejadian pada 22 April 2010 seramai 4 orang berada dalam sebuah kereta proton yang dipandu oleh mangsa. Setelah terkena tembakan di kepala kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar sebuah pokok mangga di batu 15 Jalan Labuk, Sandakan.

Rakan mangsa, Mohd Ardi Bin Awang yang duduk di hadapan mengalami cedera parah dan masih berada dalam Unit Rawatan Rapi Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

Sementara itu, dua lagi penumpang yang duduk di bahagian belakang berjaya melarikan diri. Bagaimanapun seorang daripada mereka telah berjaya diberkas polis dan kini telah dihantar ke penjara Sibuga, Sandakan.

Beberapa jam selepas disahkan mati, pihak hospital telah membenarkan jenazah mangsa dibawa pulang untuk pengkebumian. Menurut OKK Hassnar, ketika dimandikan, baru diketahui terdapat kesan tembakan peluru yang mengena di bahagian belakang kepala tembus ke bahagian hadapan mata mangsa.

Bapa simati yang turut diiring oleh OKK Hassnar ketika membuat dua laporan polisnya menuntut supaya PDRM mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan dan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan Jenayah Sandakan atas tuduhan cuba melindungi dan merahsiakan jenayah anggota polis yang bertanggungjawab melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian mangsa.

Bila ditanya mengapa dia menasihatkan bapa mangsa supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan, OKK Hassnar berkata;

“Membenarkan jenazah dibawa pulang untuk pengkebumian tanpa post mortem menampakkan ada elemen jenayah yang sengaja hendak dirahsiakan. Kalau Kabinet Malaysia bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kematian Aminulrasyid Amzah adalah wajar kematian Jalih Bin Liliyu akibat tembakan polis diberi layanan serupa,” ujar OKK Hassnar lagi.
-s/kini-

Isu masjid: Zaid bertegas titah sultan bukan arahan

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengakui bahawa beliau telah diberi amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung artikel yang ditulis dalam blog peribadinya mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan masjid bagi tujuan politik.

Katanya, pengerusi Mais, Mohamad Adzib Mohd Isa telah menasihatkannya menerusi sepucuk surat bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang mempertikaikan atau mengengkari titah yang dikeluarkan oleh baginda.

Bagaimanapun Zaid (
kiri) berkata beliau tetap mempertahankan pendiriannya serta tidak bersetuju bahawa kuasa mengeluarkan arahan dan perintah adalah kuasa mutlak tanpa perlu dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya berpendapat kuasa yang diberi kepada kerajaan negeri di bawah Artikel 74 yang dibaca bersama-sama dengan Artikel 80 Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan dalam hal ehwal agama Islam itu diberi kepada pihak berkuasa negeri. Pihak berkuasa negeri pada hemat saya ialah DUN.

“Jik
alau kuasa membuat perintah dan arahan dalam hal-hal agama Islam itu boleh dibuat oleh Raja Melayu tanpa merujuk kepada DUN dan berkuat kuasa serta merta tanpa diwartakan maka bererti kita kembali ke zaman Khalifah,” katanya ketika pada sidang medianya di kediamnannya di Tropicana Golf and Country Resort hari ini.

Namun, menurut Zaid, beliau bersedia menghadap Sultan Selangor (
kanan) bagi menjelaskan maksud artikel yang ditulisnya.

Pada artikelnya itu, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencetuskan kontroversi apabila menulis bahawa titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan masjid sebagai tempat politik bukan satu arahan.

Dakwanya, pada zaman khalifah mereka boleh melaksanakan undang-undang tanpa perlu merujuk pihak lain, namun dalam sistem raja berpelembagaan kuasa raja hanya boleh diguna pakai secara sah jika mengikut kehendak dan dalam kaedah yang dibenarkan perlembagaan persekutuan dan negeri.

“Fung
si penggubalan undang-undang terletak di tangan wakil yang dipilih rakyat, Perkara ini saya ingin ketengahkan dalam tulisan saya. Jika kuasa yang ada di bawah enakmen itu sah dan boleh diguna pakai, maka itu bererti tafsiran saya salah dan silap,” katanya.

Mengenai desakan pihak tertentu termasuk badan bukan kerajaan (NGO), khususnya Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) yang mahu beliau memohon maaf kerana tindakannya itu dianggap biadap, Zaid berkata:

"Saya tidak akan sesekali tunduk kepada desakan PERKASA selain menyifatkan badan itu sebagai tidak tahu perundangan dan perkataan biadap sudah tidak diguna pakai pada zaman ini."
-malaysiakini-

Kereta ketua polis pun dicuri, benarkah indeks jenayah turun?

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 8 Mei:
Dakwaan mengenai penurunan indeks jenayah tidak membawa sebarang makna jika kereta Ketua Polis Selangor sendiri dicuri, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Amat menggelikan hati jika ada dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan tetapi pada masa yang sama kereta rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dicuri dengan begitu mudah.

"Kereta rasmi ketua polis pun dicuri, benarkah indeks jenayah turun?

"Tidak cukup dengan itu, si pencuri mempermainkan Khalid apabila meninggalkan nota yang penuh sinis, "Sorry PDRM tersilap sapu".

"Apa maknanya dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan tetapi pada masa yang sama ketua polis sendiri dipermain-mainkan dengan penuh sinis," kata beliau yang menyifatkan Khalid begitu berkesan ke atas pembangkang seperti yang dibuktikannya ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu tetapi tidak terbukti berkesan walaupun untuk memastikan kereta rasminya sendiri tidak dicuri.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan, apa maknanya dakwaan kononnya indeks jenayah di negara ini menunjukkan penurunan jika penjenayah boleh bermaharajalela dengan berleluasa.

"Dalam jawapannya di Dewan Negara, Timbalan Menteri Dalam Negeri (Datuk Wira Abu Seman Yusop) begitu bersungguh-sungguh menekankan kes jenayah jalanan yang berkurangan bagi tempoh Januari hingga April 2010 berbanding tempoh yang sama tahun 2009.

"Tetapi, bagaimana pula dengan kes berat seperti pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis pada 26 April lalu?" Mahfuz mempersoalkan.

Bagi beliau, jenayah tidak boleh dianggap berkurangan jika hanya jenayah ringan yang berkurangan tetapi pada masa yang sama jenayah berat tidak berkurangan atau lebih buruk lagi semakin bertambah dan semakin menakutkan rakyat.

"Timbalan Menteri Dalam Negeri jangan terlalu ghairah mendakwa kononnya inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah berjaya.

"Persoalan utama, adakah rasa takut dan bimbang rakyat terhadap penjenayah dapat dikurangkan?" katanya.

Beliau meminta pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian kepada perkara itu untuk mengelakkan rakyat memomok-momokkan NKRA.

"Sekarang pun rakyat mengejek-ejek NKRA dengan kata-kata 'Najib kerja, Rosmah arah'," katanya.

Keluarga sedih, mangsa ditembak polis tiada rekod jenayah

Harakahdaily
SEREMBAN, 8 Mei:
Keluarga Mohd Azizi Azri Aziz, 17, remaja yang ditembak anggota polis pagi tadi melahirkan rasa sedih di atas kejadian tersebut kerana mangsa tidak bersalah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ana terima maklumat dari ibu bapa mangsa sewaktu menziarahi keluarga di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban tadi,” kata Adun Paroi, Mohd Taufek Abd Ghani kepada Harakahdaily.

(Gambar: Sebahagian keluarga mangsa di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.)

Beliau berkata, keluarga mangsa memberitahu, Mohd Azizi Azri baru balik dari membantu kawannya yang berniaga di Pasar Malam Ampangan kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, dia bersama-sama kawannya minum selepas bekerja di pasar malam.

Tambahnya, keadaan mangsa serius dan masih di dalam bilik bedah sejak jam 7 pagi tadi di mana usus besarnya cedera.

“Keluarga merasa sedih atas kejadian yang berlaku kerana anak mereka tidak bersalah dan tiada rekod jenayah.

“Walaupun kisah Aminulrasyid baru berlaku tetapi kisah sedih ini terus berulang dan menimpa keluarga mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau dan beberapa wakil Pakatan Rakyat negeri yang menziarahi keluarga mangsa berharap pihak polis mengambil serius kes tersebut dan sudah tiba masanya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mesti bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 pagi tadi di Ampangan, mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Paroi cedera parah di perut akibat ditembak seorang anggota polis.

Sebut Altantuya, AMK Pahang Ditahan Polis

SIBU, 8 MEI: Seorang ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Nor Azwan Ramli dikatakan ditahan polis kerana didakwa menyebut perkataan Altantuya pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Mengikut Facebook Fariz Musa, Timbalan Ketua AMK Pusat, tindakan Nor Azwan itu menyebabkan beliau berdepan siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Mengikut laman sosial yang dikirim pada jam 1.50 petang ini, Nor Azwan pada masa ini ditahan di Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan lanjut.

Tindakan polis itu menyebabkan pelbagai kecaman dan sindiran dipapar penyokong Pakatan Rakyat pada laman berkenaan.
-tvselangor-

Polis ditahan kerana tembak mat rempit

Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.

Cedera parah

Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.

"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.

Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Os

man berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.

"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."

Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.

Bapa terkilan

Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.

Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.

Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.

-malaysiakini-

'Rosmah derhaka anggap dirinya Wanita Pertama'

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menggesa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana merujuk dirinya sebagai “wanita pertama” atau "first lady" - satu tindakan yang dianggap menderhaka.

“Kenyataan ini dilihat tidak wajar dikeluarkan oleh beliau kerana jika merujuk kepada Perlembagaan Negara, Artikel 32, gelaran itu sepatutnya diberikan dan dipegang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung selaku isteri kepada Pemimpin Tertinggi Negara.

“Gelaran ini sama sekali tidak harus menjadi pertikaian dan juga hasrat bagi sesiapa sahaja untuk memilikinya kerana ia jelas tertulis dari sudut Perlembagaan Negara,” katan Zuraidah (
kanan) dalam kenyataan media hari ini.

Zuraidah merujuk kepada iklan dua muka surat yang disiarkan di
New York Times, bulan lalu yang mengucapkan tahniah kepada “Rosmah, Wanita Pertama Malaysia” sempena dikurniakan Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Iklan 16 April itu juga dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama yang mendapat perhatian blogMalaysia Today, yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang kini diburu kerajaan.

Laman web itu juga melaporkan iklan yang dianggarkan bernilai RM10 juta itu juga memuatkan gambar besar Rosmah dengan tajuk “Malaysia berbangga dengan anda”.

Menurut
Bernama, kos berkenaan ditampung oleh “keluarga dan sahabat Rosmah di Amerika dan Malaysia”.

Zura
idah berkata sikap Rosmah yang kerap mengganggap dirinya sebagai “The First Lady” bukan sahaja dilihat sesuatu yang tidak sopan tetapi menunjukan beliau seolah-olah cuba membelakangi Istitusi Diraja.

“Amat dikesali apabila seorang isteri Perdana Menteri begitu dangkal dan cetek fahaman politiknya sehinggakan bagi menaikkan diri, beliau sanggup membelakangi Raja Permaisuri Agung dan sekaligus dilihat sebagai satu tindakan yang menderhaka.

“Kami ingin menasihati kepada semua rakyat agar tidak mencontohi kelakuan biadap sebegini semata-mata ingin meraih sokongan politik sehingga sanggup melanggar Perlembagaan Negara,” katanya lagi.

Rosmah juga didesak supaya tidal lagi menggunakan gelaran tersebut di mana-mana sahaja beliau berada.
-malaysiakini-

Pulihkan selaput dara untuk tipu bakal suami

KUALA LUMPUR: Pemulihan selaput dara hanya layak dijalankan pakar bedah estetik atau kosmetik profesional kerana kaedah itu mempunyai risiko tinggi yang mampu menyebabkan jangkitan kuman serta pelbagai komplikasi mengancam kesihatan jika dilakukan orang yang tidak berpengetahuan.

Ia juga bukan pembedahan ‘main-main’ yang boleh digunakan remaja sekadar suka-suka untuk pulihkan dara mereka selepas melakukan hubungan seks dengan rela.

Pegawai Perubatan Am Mediviron TTDI Jaya, Dr Sharifah Abd Ghaffar berkata, pakar bedah plastik yang layak menjalankan pembedahan itu juga mempunyai etika dan tidak akan sewenang-wenangnya menjalankan pembedahan sekiranya ia sekadar untuk alasan remeh-temeh.

“Kaedah pembedahan ini tetap mempunyai risiko tersendiri sama seperti pembedahan lain dan jika yang terbabit itu remaja, pakar bedah itu sudah tentu akan mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa mereka dan saya rasa bukan mudah untuk ibu bapa bersetuju.

“Apalagi pembedahan ini bukan murah dan selalunya hanya dijalankan mereka yang sudah berumur atas sebab tertentu yang lebih kukuh seperti untuk memperbaiki kehidupan seks bersama pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dr Sharifah mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai dua remaja perempuan yang sanggup merelakan diri menjadi mangsa seks tiga serangkai kerana percayakan janji ‘Tok Muda’ yang mendakwa mampu mengembalikan selaput dara yang hilang akibat kerap melakukan hubungan kelamin.

Beliau berkata, remaja terutama beragama Islam sepatutnya mengawal diri dan tidak terbabit dalam kegiatan seks rambang.

Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga pakar motivasi dan penceramah, Zawawi Yusof berkata, mereka yang sudah melakukan dosa sepatutnya bertaubat dan mencari jalan ke pangkal jalan yang diredai Allah bukannya dengan cara cuba menutup kesalahan lampau dengan kaedah pelbagai.

Beliau berkata, sikap gadis terlanjur yang sebelum ini memang melakukan seks dengan rela tetapi kemudian mahu memulihkan dara dengan bertemu bomoh atau kaedah lain, seolah-olah menunjukkan mereka cuba menipu bakal suami masing-masing, menyebabkan mereka ditemukan dengan jalan yang silap dan akhirnya menjadi mangsa penipuan juga.
-hmetro-

Maut isi perut terburai

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan isi perut terburai selepas digilis tayar lori, seorang penunggang motosikal masih mampu mengucap dua kalimah syahadah ketika orang ramai datang membantu menyelamatkannya, semalam.

Detik kemalangan ngeri yang menyayat hati itu, bagaimanapun, berakhir beberapa minit kemudian apabila mangsa menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berlumuran darah.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal bersendirian melalui jalan di Kilometer 38, Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak di sini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan menuju ke Bukit Jalil di sini dipercayai terjatuh selepas bergesel dengan sebuah kereta dipercayai model Proton Saga di sini.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan dan tidak sempat bangun menyelamatkan diri. Pada masa sama sebuah lori tanah yang mengekori dari belakang gagal mengelak sebelum mangsa digilis di perutnya.

“Lebih mengerikan apabila mangsa diseret lebih 10 meter oleh lori berkenaan hingga menyebabkan isi perut dan daging tubuhnya bertaburan di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Qaiyyum Jamal Abd Nasir, 24, dari Taman Desa Tasik, Sungai Besi di sini masih bernyawa beberapa saat selepas dia digilis walaupun separuh tubuhnya hancur.

“Orang ramai yang mengetahui mangsa beragama Islam dan kebetulan ada yang mengenalinya sempat mengajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

“Susulan kejadian itu, polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengawal lalu lintas selain mengutip cebisan mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu lori terbabit, Daymonds Mamertus, 35, memberitahu tidak sempat mengelak berikutan mangsa jatuh betul-betul di hadapan kenderaannya.

Menurutnya, kejadian itu pengalaman paling mengerikan dalam hidupnya sejak memandu lori hampir 10 tahun lalu apatah lagi dengan keadaan mayat mangsa yang amat tragis.
-hmetro-

'Bergaul' dengan bukan Melayu: Umno hilang punca

Selepas diarahkan 'bergaul' dengan masyarakat bukan Melayu, pemimpin akar umbi Umno dilihat masih tercari-cari arah dan seolah-olah hilang punca bagi melaksanakan arahan presiden mereka Datuk Seri Najib Razak itu.

Terdapat daripada kalangan mereka yang mendakwa telah cuba melakukannya – termasuk menghadari aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan golongan bukan Melayu - tetapi masih gagal menarik kembali sokongan masyarakat berkenaan kepada BN.

Manakala sebahagian pihak lagi berpendapat parti komponen bukan Melayu - seperti MCA dan MIC - tidak harus hanya bergantung kepada Umno semata-mata untuk menarik kembali sokongan Cin dan India kembali ke BN.

Ketua Umno bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berpendapat budaya “aku jaga orang aku, kau jaga orang kau” harus berubah jika BN mahu mendapatkan kembali sokongan bukan Melayu.

“Dulu masa dalam Perikatan dulu boleh bersama-sama. Sekarang ini kelam kabut sedikit. Sekarang ini ada yang terlampau pentingkan diri sendiri,” katanya kepada
Malaysiakini.

Awal minggu ini, Najib dilaporkan
mengarahkan semua pemimpin Melayu supaya juga menghadiri majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Cina dan sebaliknya bagi menarik kembali sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan pengundi Cina.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (kiri) dilaporkan berkata arahan itu dibuat oleh Najib yang juga presiden BN ketika pemukiman parti berkenaan di Janda Baik, Pahang.

Bagi Ketua Umno Kampar Datuk Mohd Radzi Manan, Umno mesti mula mengagihkan tugas-tugas dan aktiviti yang dijalankannya kepada MIC dan MAC dan sekadar mengawasinya sahaja.

“Kalau dulu, kebanyakannya kita yang buat. Macam di tempat saya (Kampar) sekarang, kita buat liga bola sepak, saya minta MIC uruskan. Saya monitor sahaja.

“Larian bendera (sempena bulan kemerdekaan) Ogos ini, saya serahkan pada MCA,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo pula berkongsi pandangan yang hampir sama dengan Mohd Radzi.

Ketika dihububungi
Malaysiakini walaupun menyambut baik arahan Najib itu, Ismail berharap akan wujudnya penyelarasan yang lebih baik antara Umno dan parti-parti bukan Melayu lain dalam BN.

“Memang selama ini pun kita pergi kenduri, orang meninggal (kaum lain). Kalau tak boleh makan pun, kita ambil limau sahaja.

“Tetapi kenduri contohnya, kalau orang tidak ajak, takkan kita hendak pergi. Di sinilah peranan MIC dan MCA,” katanya.

Ismail juga menjelaskan, usaha tersebut tidak begitu rancak sebelum ini kerana mereka tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, bagi seorang lagi pemimpin bahagian Umno, Datuk Abdul Rahman Palil, beliau mempunyai pendapat yang sedikit berbeza.

Menurut ketua Umno bahagian Kapar itu, bagi meraih kembali sokongan bukan Melayu, khususnya kaum Cina bukan semata-mata melalui aktiviti 'bergaul' dengan mereka semata-mata.

“Perkara ini kita sudah buat lama sudah. Sampai tokong pun saya pergi. Masalahnya sekarang pemimpin atasan kena buat satu dasar yang disukai semua orang,” katanya.

Menurutnya lagi, melalui dasar yang menjamin kemakmuran ekonomi dalam negara, sokongan masyarakat Cina akan kembali ke pangkuan BN.

Abdul Rahman juga berkata, sokongan masyarakat Cina juga boleh diperolehi dengan mendapat kepercayaan pemimpin masyarakat mereka terlebih dahulu.
-malaysiakini-

Isteriku isteri orang

Shanty Nur Shaffizan Shafee
KUALA LUMPUR:
Ibarat jatuh ditimpa tangga, seorang lelaki bukan saja kerugian RM17,500, malah turut kehilangan isteri yang dikahwininya sejak lima bulan lalu apabila wanita terbabit sudah berkahwin di negara asalnya, empat tahun lalu.

Mangsa, Tan Chin Seng, 30, berkata semuanya bermula apabila melihat kebahagiaan rakannya yang berkahwin dengan gadis Vietnam lalu mendapatkan khidmat ejen bagi mencari bakal isteri.

“Sebaik saja melihat gambar isteri, Nguyen Thi Vinh, 25, dari koleksi album ejen terbabit, saya terus jatuh cinta dengan kelembutan wajahnya lalu membayar RM500 untuk membeli tiket penerbangan membolehkan dia datang ke negara ini.

“Setelah sebulan berkenalan, kami mendaftarkan perkahwinan pada Disember tahun lalu dan membayar RM17,000 bagi urusan dokumentasi dan wang hantaran yang diminta ejen terbabit,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Menurut Tan, selepas berkahwin, dia berasa pelik apabila melihat isterinya itu sering termenung dan bersedih, namun menyangka ia hanya sementara.

“Bagi menggembirakan hatinya, kami pulang ke kampung halamannya di Vietnam pada sambutan Tahun Baru Cina selama dua minggu bagi mengenali keluarga dan saudara-maranya dengan lebih dekat.

“Sebaik saja kembali ke tanah air, kami dikejutkan dengan berita kematian neneknya dan dia meminta untuk pulang dan berjanji akan pulang ke sini dengan segera,” katanya.

Namun, Tan berkata, sejak isterinya pulang ke Vietnam, wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan dia berasa ada sesuatu yang buruk berlaku.

“Sangkaan saya tepat apabila wanita terbabit memberitahu dia sebenarnya sudah berkahwin empat tahun dan meminta maaf kepada saya kerana tidak berterus terang.

“Dia mendakwa diperdaya ejen terbabit kerana dia sepatutnya datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan bukan berkahwin dengan saya,” katanya yang turut menerima surat pendaftaran perkahwinan wanita terbabit yang disahkan asli oleh Kedutaan Vietnam, di sini.

Tan berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan dari ejen terbabi, namun mereka enggan bertanggungjawab sebaliknya mendakwa turut diperdayakan wanita terbabit.
-hmetro-

20 pelajar bertempur

SENTUL: Tidak ubah seperti ‘gengster’ muda apabila sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, bertempur ketika umat Islam sedang berpusu-pusu menunaikan solat Jumaat hingga menyebabkan lebih lima pelajar mengalami kecederaan.

Dalam kejadian sekitar jam 1.40 tengah hari semalam, dua kumpulan pelajar yang masih berpakaian sekolah terbabit bergasak dan bertumbuk selain turut menggunakan topi keledar untuk mencederakan satu sama lain.

Difahamkan, keadaan menjadi tidak terkawal apabila kumpulan pelajar berkenaan bertindak bergaduh di hadapan sebuah stesen minyak sebelum berlanjutan hingga ke kawasan berhampiran pondok menunggu bas berhampiran Batu 5, Jalan Ipoh, di sini.

Salah seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 22, berkata kejadian pergaduhan terbabit mula tercetus sejak kelmarin apabila dua pelajar saling bergaduh dipercayai berpunca dari salah faham.

“Apa yang saya dengar salah seorang pelajar terbabit melanggar salah seorang lagi pelajar yang sedang memegang cawan minuman hingga jatuh tanpa meminta maaf. “Susulan itu berlaku pergaduhan hingga membawa kepada pertembungan dua kumpulan pelajar. Mereka bertumbuk di kawasan luar sekolah kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam (kelmarin),” katanya.

Menurutnya, kumpulan pelajar yang masih tidak berpuas hati bagaimanapun cuba membalas dendam dengan bergasak sekali lagi di luar kawasan sekolah, semalam.

“Dua kumpulan terbabit yang baru selesai sesi persekolahan pagi dilihat mula bergaduh di hadapan stesen minyak sebelum bertempur di hadapan pondok hentian bas.

“Ketika itu ada pelajar yang berdarah di mulut selain salah seorang lagi dipukul dengan topi keledar. Malah keadaan tidak terkawal apabila pergaduhan itu turut mendapat campur tangan beberapa individu tidak dikenali,” katanya.


Bagaimanapun, tindakan pantas 10 kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sentul yang kebetulan berada di lokasi kejadian berjaya mengawal serta meleraikan pergaduhan terbabit dari merebak.

“Malah, sepasukan anggota polis turut dilihat memberkas beberapa pelajar yang terbabit dengan pergaduhan itu sebelum dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan polis menahan lapan pelajar sekolah terbabit untuk diberi nasihat dan kaunseling sejurus selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kelapan-lapan pelajar lelaki berusia antara 16 tahun dan 17 tahun itu ditahan di sekolah mereka selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu oleh pihak sekolah.

“Kira-kira jam 1 tengah hari, pihak sekolah menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu.

“Apabila tiba, polis dapati pergaduhan itu sudah pun berhenti tetapi lapan pelajar dibawa ke balai untuk diberikan nasihat dan kaunseling,” katanya.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit kemudian dibebas dan dibenarkan pulang selepas selesai sesi kaunseling dijalankan.

Menurut Zakaria, pihaknya dimaklumkan pergaduhan terbabit tercetus akibat perselisihan faham antara dua pelajar di sekolah berkenaan manakala rakan lain pula bertindak menjadi penonton kejadian itu.

Namun, katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu dan setakat ini pihaknya belum membuka kertas siasatan untuk kes berkenaan.
-hmetro-

BN Kedah: Sama ada pilihan raya baru atau kerajaan tumbang

G.Manimaran dan Syed Jaymal Zahiid

Barisan Nasional (BN) Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun Pakatan Rakyat akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.

Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.

Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara Pakatan Rakyat dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.

Awal tahun lalu kerajaan negeri Perak Pakatan Rakyat tumbang selepas tiga adun - masing-masing dua dari PKR dan satu wakil rakyat DAP keluar parti dan menjadi Adun Bebas mesra BN.

“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.

Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar.

Bagaimanapun Nawawi enggan menyebut nama Adun yang berpotensi untuk keluar Pakatan Rakyat itu.

“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.

“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.

Akhir bulan lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak(gambar) berkata, beliau tidak khuatir jika masih ada Adun daripada Pakatan Rakyat bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

Sebaliknya, beliau telah bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk membubarkan DUN jika ia benar-benar berlaku.

“Saya dengar macam-macam cerita sehingga sudah ada di antara Adun Umno yang bercakap siapa bakal menteri besar, tetapi saya langsung tidak khuatir kerana jika ini (lompat parti) benar-benar berlaku, saya akan bubar DUN dan kita pulang semula kepada rakyat untuk menjadi hakim,” katanya.

Sehingga kini kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua Adun daripada PKR iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.

Radzhi keluar tahun lalu manakala Tan bulan lalu ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas.

Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR tiga dan DAP satu kerusi.

BN mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut.

Kedah merupakan salah satu daripada lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul pula memberitahu bahawa BN dengan “agresif” cuba mendampingi wakil rakyat Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini khususnya anggota PKR untuk mendapatkan sokongan mereka.

Pun begitu Johari juga melahirkan keyakinan kemungkinan wakil rakyat Pakatan Rakyat akan bertindak keluar parti tidak mungkin berlaku.

“Kami ada menerima laporan mengenai perkara ini. MB juga menyedari perkara ini memandangkan kesemua mereka yang telah didampingi BN telah memaklumkan kepada beliau.

“Mustahil perkara itu akan berlaku,” katanya.

-malaysiainsider-

Orang Cina Tidak Undi Bn Kerana MCA Atau …..

IZMAS

DALAM satu wawancara rengkas sebuah stesen TV swasta dengan beberapa pengundi Cina di Kuala Kubu Baru sempena pilihan raya kecil Hulu Langat yang lalu, lebih 90 peratus mereka berkata, mereka berpuashati dengan kehadiran Ahli Parlimen (AP) berbangsa Cina dari DAP dan PKR seperti Tony Phua, Theresa Kwok, Ronnei Liew dan beberapa pemimpin lagi di kalangan yang faham tentang tuntutan dan kehendak mereka

Menurut mereka, pemimpin MCA atau Gerakan mengikut telunjuk kerajaan dan tidak berani bersuara memihak tuntutan mereka khususnya dalam bidang ekonomi, pelajaran, biasiswa, bahasa dan budaya. Mereka sedar dan berharap kehadiran AP Cina dari Pakatan di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen boleh merealisasikan kehendak mereka yang selama ini tersekat dan tidak dapat dipamirkan dalam kerajaan yang dikuasai lebih dua pertiga ahli BN.

Dengan penguasaan mereka di Pulau Pinang dan Selangor (Perak sudah terlepas dari tangan Pakatan), banyak agenda selama ini yang tidak dapat dibangkitkan sudah diketengahkan termasuk isu yang sensitif dan menyentuh sentimen orang Melayu serta melanggar peruntukan Perlembagaan. Jika di zaman penguasaan BN, isu bahasa, sekolah SJKC, pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris, hak istimewa bumiputra, pembelaan peniaga kaum Cina, kebanjiran pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam dan beberapa isu lain tidak ditonjolkan secara terbuka. Kini isu-isu itu dibangkit, didedah dan dibahas secara terbuka lagi berani oleh Ahli Dun dan AP Cina dari Pakatan yang kadangkala menghiris hati orang Melayu.

AP MCA atau Gerakan tidak berani menonjolkan isu-isu itu kerana mereka berada dalam BN yang menghalang mereka secara sedar bersuara lantang atau mempersoal dasar kerajaan yang sensitif dan tidak memihak kaum mereka. Dengan perkataan mudah, orang Cina kini sudah mempunyai ruang terbuka selepas kehadiran kalangan pemimpin yang berani membela hak dan tuntutan asas mereka yang selama ini gagal dibangkitakn oleh pemimpin MCA dan Gerakan.

Ini semua bermula akibat tsunami politik 2008 lalu di mana BN kalah teruk dan 5 negeri (termasuk Perak yang sudah kembali kepada BN) memberi kemenangan besar yang belum berlaku dalam sejarah politik negara. Pakatan di bawah bendera PKR, PAS dan DAP menang besar menewaskan dengan teruk calon-calon MCA, Gerakan, MIC, PPP dan segelintir pemimpin Umno bertaraf menteri. Undi kaum Cina dan India ketara memihak Pakatan dan sebilangan besar undi Melayu juga menyebelah calon PAS atau PKR. MCA dan MIC kehilangan besar calon-calon mereka termasuk menteri kepada calon bukan Melayu DAP dan PKR sekaligus memberi mesej kebangkitan undi kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina yang menolak calon BN dari MCA dan Gerakan.

Kemenangan drastik dan tidak terduga itu memberi nafas baru dan petunjuk bahawa mereka sudah ada wakil pemimpin kaum mereka di Dun dan Palimen berkesan dan berwibawa yang boleh membela tuntutan dan hasrat terpendam mereka selama ini. Tidak seperti pemimpin MCA dan Gerakan yang didakwa tunduk kepada Umno dan dasar BN, pemimpin Pakatan bukan Melayu berani membangkitan isu-isu asas tuntutan asas mereka kerana sudah berkuasa khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan pada waktu sama mendapat restu dari rakan pemimpin Melayu khasnya dari PKR.

Dengan situasi yang sudah berlaku itu dan sentimen kuat kaum Cina kepada Pakatan, adalah sukar dalam waktu terdekat bagi MCA atau Gerakan menarik semula hati dan memanggil semula undi kaum Cina yang sudah beralih arah menyokong Pakatan. Jika tiada usaha gigih dan dasar konkrit BN yang benar-banar memikat hati mereka, kecenderungan itu bakal berterusan sehingga pilihan raya ke-13 yang bakal membimbangkan Najib dan pemimpin MCA serta Gerakan.

Pemimpin MCA dipersalahkan kerana mendahulukan kepentingan diri melebihi perjuangan parti. Krisis dalaman MCA yang berlaku menunjukkan wujudnya perebutan jawatan di kalangan ketua mereka untuk melangsungakan agenda diri dan kumpulannya sendiri mengatasi kehendak masyarakat Cina yang dahagakan pembelaan mereka. Orang Cina menganggap pemimpin Cina dari Pakatan lebih ikhlas berjuang membela kepentingan mereka tanpa mengharap jawatan atau pangkat dalam parti.

Gagasan 1Malaysia PM Najib kelihatan sudah diterima baik oleh orang Melayu dan India tetapi belum meresap dalam minda dan hati orang Cina seperti yang terbukti dalam keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor baru lalu. Dr Chua Soi Lek dan Dr Kho Tsu Koon mungkin sedar kaum Cina kini sudah ada pilihan lain selain parti mereka dan yakin serta percaya kepada keberanian pemimpin Pakatan membela hak mereka lebih dari pemimpin MCA dan Gerakan.

Keyakinan dan kepercayaan itu mungkin sukar diguggat kecuali persepakatan pemimpin dalam Pakatan bermasalah - bergolak sama sendiri, tidak merealisasikan janji pilihan raya yang dibuat, gagal memerintah negeri dengan berkesan - yang boleh mengurangkan kepercayaan orang Cina kepada mereka. Dan sekiranya Najib dapat membuktikan dasar keraajaan serta gagasan 1Malaysianya benar-benar menjaga kepentingan semua kaum termasuk kaum Cina secara adil, saksama dan telus, mereka mungkin boleh bertukar haluan menyokong BN. Orang Cina bijak menentukan undi mereka berdasarkan isu-isu kritikal dan relevan, bukan sentimen melulu seperti kaum lain.

Mereka boleh memberi kemenangan kepada mana parti yang boleh merealisasikan tuntutan dan impian mereka khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan seperti yang berlaku dalam PRU tahun 1998 dan 2004 lalu di mana mereka menyokong parti yang memerintah. Kaum Cina lazimnya mahukan kehidupan yang selesa, situasi ekonomi negara yang mantap, banyaknya peluang pekerjaan dan ruang ekonomi yang selesa dan terjamin bagi mereka menjalankan perniagaan.

Kehadiran ramai AP kaum mereka dari DAP dan PKR yang lantang bersuara menyebabkan permintaan kaum Cina dikatakan semakin banyak, rumit dan tidak tertumpu kepada soal ekonomi semata. Mereka kini berani menuntut hak lain yang amat mencabar seperti keadilan dalam semua bidang khusunya pendidikan, biasiswa, agama, budaya, pekerjaan dan bermacam lagi. Adakah ini semua dapat direalisasikan oleh PM Najib, pemimpin MCA dan Gerakan sebelum PRU ke-13 nanti?

Namun, pemimpin Cina DAP dan PKR juga tidak boleh yakin seratus peratus bahawa mereka boleh terus mendapat sokongan dari pengundi Cina jika mereka gagal memerintah dengan berkesan di negeri yang diperintah dan melaksanakan program ekonomi yang boleh membela hak dan kepentingan rakyat gulungan miskin dan sederhana. Kemelut dan kekusutan politik dalaman yang terus berlaku di kalangan rakan pemimpin Melayu dalam Pakatan boleh mengurangkan keyakinan rakyat kepada kebolehan gabungan parti itu untuk memerintah sekaligus berganding bahu dalam menghadapi agenda pilihan raya akan datang.

Kereta ketua polis S'gor yang dicuri dijumpai

Kereta rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang hilang dua hari lalu berjaya dijumpai semula hari ini.

Kereta jenis Perdana V6 berwarna hitam itu ditemui di tepi jalan Prima Damansara pada jam 8.45 pagi oleh anggota polis ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Pada 6 Mei lalu, kereta itu dilaporkan hilang dipercayai dicuri ketika diletakkan di tempat letak kereta di Seksyen 9, Shah Alam.

Ketika kejadian, pemandunya yang membawa kereta berkenaan sedang bersarapan di sebuah restoran manakala Khalid pula tiada di tempat kejadian ketika kecurian berlaku kerana berada di Singapura atas urusan kerja.
-malaysiakini-

Pilihan raya Sibu: Saingan tiga penjuru

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.

Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin

bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.

Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

-malaysiakini-