Kekasih terlarang rupanya isteri orang



DI rumah inilah arwah Muda cuba meminum air kelapa untuk cuba menghilangkan bisa racun yang memasuki badannya. Gambar kecil, Kuntum.
KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikatakan menjadi penyebab seorang penoreh getah berusia 27 tahun maut selepas dipaksa meminum racun kelmarin rupa-rupanya berstatus isteri orang.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, pihaknya telah menahan wanita itu, suami, 24, dan ibunya, 36, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suami remaja itu ditahan Selasa lalu manakala ibu dan remaja tersebut ditahan ketika mereka datang untuk menemui lelaki itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, kelmarin.
Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah mereka yang ditahan meningkat kepada tujuh orang.
Difahamkan, remaja perempuan itu yang sudah berkahwin tahun lalu menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa. Oleh kerana itu, dia dikatakan menjadi penyebab ahli keluarganya naik berang sehingga memaksa mangsa, Muda Mohd., 27, meminum racun pada 19 Oktober lalu.

"Tinggal Serumah, Tak Buat Apa-Apa" - Aida Khalida

Aida kini lebih tenang hidup solo.
PETALING JAYA: Pelakon Aida Khalida mengaku bahawa bekas suami, Joe Radzwil tinggal serumah dengannya selepas disahkan bercerai talak satu pada 25 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Joe telah keluar daripada rumah tersebut kira-kira dua minggu lalu.
Menurut Aida, dia terpaksa membiarkan Joe tinggal bersama untuk memberi peluang kepeada bekas suaminya itu mencari rumah baru.
"Dah 10 tahun kami bersama, takkan saya tidak berhati perut menghalaunya keluar. Saya memberi tempoh kepada Joe untuk mencari tempat tinggal baru.
"Saya tahu ada beberapa media yang gosipkan tentang kami. Walaupun kami tinggal serumah, saya masih lagi menutup aurat, malah kami tidur belainan bilik.
"Bukankah saya sudah "berhijrah"? Perkara-perkara sebegini sudah semestinya saya titik beratkan.
"Rasanya saya tidak perlu memberitahu semua orang apa yang kami buat di rumah. Orang luar memang suka mengandaikan macam-macam hal, tetapi ia sebagai pengajaran buat kami," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah Aida yang masih dalam tempoh edah, walaupun tinggal bersama, tidak pernah berlaku rujuk atau merancang untuk rujuk semula kerana keputusan (cerai) telah pun dibuat.
"Ini semua salah faham. Lagipun, bila saya balik rumah, dia tak ada dan bila dia balik rumah, saya pula yang tiada. masing-masing buat hal sendiri.
"Walaupun dia mahu kembali bersama saya dan mengajak untuk berkahwin semula, rasanya penceraian adalah yang terbaik buat kami.
"Tiada lagi perasaan sayang yang berbangkit," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Seribu Kali Cinta.Melalui kehidupan solo semula, Aida kini lebih selesa dengan kehidupan barunya.
Baginya, ia merupakan satu rahmat yang diterima daripada Allah S.W.T untuk menjadikannya seorang wanita yang lebih tabah mengharungi kehidupan bersendirian.
"Kini hidup saya lebih positif. Walaupun penceraian itu nampak seperti buruk, ia ada kebaikannya. Kadang kala, penceraian bukanlah suatu perkara yang teruk. Saya percaya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambanya.
"Apapun, buat masa sekarang ini saya enggan berfikir tentang kahwin atau mencari teman hidup baru.
"Bagi saya, jika mempunyai seseorang untuk dijadikan suami, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri lagi sekali. Kalau pengorbanan itu dihargai, tak apa juga," ujarnya yang sedang merancang membuka perniagaan sebagai pemborong tudung.

Tindakan Polis Tahan K Selvachandran Dipertikai : Khalid Samad


SHAH ALAM 30 OKT: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kecewa dengan tindakan pihak polis menahan K Selvachandran, saksi utama kematian dan pemindahan tahanan lokap R Gunasegaran.

Beliau menyifatkan perkara seperti ini tidak patut berlaku dan mempersoalkan tindakan polis menahan Selva di hadapan keluarga tanpa alasan.

"Saya cukup kecewa bahawa keadaan seperti ini masih dibenarkan berlaku, kematian dalam tahanan seperti yang berlaku pada Gunasegaran tidak boleh diterima atas apa-apa alasan sekalipun dan Selva pula dikenakan tindakan seolah tindakan polis berdendam kepadanya kerana dia saksi utama," kata beliau kepada TV Selangor.

Beliau hari ini turut serta bersama hampir 100 aktivis NGO Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan 'Lawyers for Liberty' yang menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara di Balai Polis Bukit Aman dalam isu  penangkapan dan penindasan terhadap K Selvachandran pada 25 Oktober 2010 lepas.

Menurut pegawai polis yang tidak mahu dikenali, Selvachandran ditahan dibawah akta Dadah Berbahaya dan tidak diketahui lokasi beliau ditahan kini.

Gunasegaran, 31 tahun dikatakan diseksa dan dipukul ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Sentul dua tahun lalu.

Mengikut laporan rasmi, beliau tidak sedarkan diri ketika cap jari diambil di balai polis berkenaan di antara jam 6:45 hingga 7 petang pada 16 Julai 2008 dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur di mana beliau disahkan mati kira -kira jam 7:40 petang.

Laporan autopsi menyatakan Gunasegaran mati disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan.

Bagaimanapun, Selvachandran yang turut ditahan bersama mendakwa beliau melihat Gunasegaran ditendang dan dipukul sehingga mati oleh polis.

Inkues kematian dalam lokap R. Gunasegaran berakhir pada 25 Ogos lalu dengan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan 'keputusan terbuka' kerana mahkamah tidak dapat memberikan sebab kematian setelah 23 saksi menampilkan diri.

Khalid menyatakan tindakan menghantar memorandum adalah untuk menyelamatkan mereka yang merosakkan imej polis.

"Ini bukan soal perkauman, soal dia Melayu ke, Cina ke India ke, itu lain cerita. Kita kena memahami bahawa polis mesti bertindak mengikut undang-undang dan apa yang kita nak buat ialah nak selamatkan imej polis, bukan kita nak rosakkan," tegas beliau.

Khalid turut membidas keputusan 'terbuka' oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang menurut beliau menggalakkan penyiksaan terhadap tahanan.

"Dalam kes Gunasegaran itu jelas dia diseksa, kalau sekiranya tiada keputusan muktamad yang mengatakan dia mati kerana itu sekalipun, sepatutnya tindakan dikenakan ke atas polis yang menyiksa dan mendera orang tahanan. 

"Tetapi sebaliknya apa yang berlaku, tak ada apa-apa lalu inilah mesej yang memberikan gambaran bahawa polis boleh melakukan apa yang dia suka tanpa apa-apa tindakan," kata beliau.
-tvsnews-

Bekas calon BN maki hamun rombongan MB

M Fakih
GUA MUSANG, 30 Okt: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Nor Idris memaki hamun Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Mohamad, sebentar tadi.

(GAMBAR: Mohd Nor Idris memaki rombongan MB Kelantan di rumah bekas Adun Galas)


Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarah bekas wakil rakyat Dun Galas dari Semangat 46 di Kampung RPT Sungai Terah selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Gua Musang.

Rombongan Menteri Besar yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sebaik sahaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz tiba, Haji Omar yang berada di dalam rumah keluar menyambut mesra kehadiran Menteri Besar dan rombongannya.

Kemudian tuan rumah mempersilakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masuk dan diikuti anggota rombongan. Bagaimanapun ketika tiba di ruang tamu Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya enggan bersalam dengan Menteri Besar.

Sebaliknya beliau terus menengking dengan mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.
“Ana tidak mahu bersalam dengan anta selagi PAS berkawan dengan DAP,” kata Nor dengan suara nyaring.

Dengan suara yang keras dengan dilaungkan sekuat hati beliau mengajak Mursyidul Am PAS berdebat.

Ekoran itu Mohd Amar cuba menenangkan keadaan dan meminta Ustaz Nor bertenang, namun pada awalnya beliau enggan dan terus menegangkan urat lehernya.


(Gambar: Bekas Adun Galas, Haji Omar (baju batek biru) menyambut Nik Aziz dan rombongan dengan mesra tetapi Mohd Nor yang ada di situ memaki orang)


Beliau yang memakai baju kameja biru tertera gambar 1Malaysia enggan mendengar nasihat anggota Exco terbabit sehingga menyebabkan anggota rombongan lain cuba menangkan keadaan.

Sebagai tetamu kita hendaklah menghormat tuan rumah. Kita sama-sama tetamu. Saya datang bukan hendak berbahas dengan sesiapa cuma hendak menziarahi tuan rumah,” kata Menteri Besar.

Ustaz Nor terus menengking dengan mengatakan semuanya hendak berpolitik.
Ketika tuan rumah mengangkat air, Menteri Besar meminta Ustaz Nor minum air dahulu bagi menyejukkan emosinya.

Haji Omar hanya memerhati telatah Ustaz Nor yang dianggap boleh mencemarkan imejnya sebagai tuan rumah kerana menengking Menteri Besar yang datang ke rumahnya.

Beliau merupakan bekas Adun Semangat 46 Dun Galas dua penggal pada 1990 dan 1995. Bagaimanapun kerusi itu dirampas semula BN pada pilihan raya 1999 dan 2004 melalui Mohd Saufi Deraman.

Ustaz Nor pernah bertanding di kerusi parlimen Pengkalan Chepa menentang Mohd Amar.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui kemudian melahirkan rasa di atas sikap pemimpin Umno terbabit yang langsung tidak menghormati tetamu yang berkunjung.

“Beliau bukannya tuan rumah untuk menengking tetamu yang datang. Tuan rumah tidak ada masalah cuma Ustaz Nor yang tidak ada kaitan dengan tuan rumah tiba-tiba tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Seorang pegawai Yik menyifatkan orang yang waras tidak mungkin menengking orang lain tak tentu pasal.

Aksiden yang berlaku itu menambah lagi koleksi ketempangan kempen Umno. Ia secara langsung mencemarkan moral Umno yang masih terkial-kial mencari arah.

Pemilihan PKR hari ke-2: Zaid terus di depan

Keputusan pemilihan PKR hari kedua setakat ini memperlihatkan Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim terus mendahului di depan.

Berdasarkan keputusan tiga cabang - Indera Mahkota, Teluk Kemang, Arau - yang diperoleh setakat jam 7.00 petang, Zaid berjaya menambah 129 undi.

Ini menjadikan keseluruhan undi yang diterimanya sejak semalam sebanyak 706.

Manakala pesaingnya, naib presiden Azmin ali mendapat tambahan 105 (keseluruhan 477) dan Mustaffa Kamil Ayub (keseluruhan 67) mendapat 6 lagi undi.

Keputusan untuk jawatan naib presiden bagi hari ini seperti berikut:
Nurul Izzah Anwar - 155 (keseluruhan 649)
Mansor Othman - 148 (keseluruhan 610)
Fuziah Salleh - 44 (keseluruhan 506)
Tian Chua - 59 (keseluruhan 489)
N Gabalakrishnan - 89 (keseluruhan 393)
R Sivarasa - 81 (keseluruhan 348)
Suresh Kumar - 12 (keseluruhan 219)
Dr Xavier Jayakumar - 92 (keseluruhan 176)
Baru Bian - 3 (keseluruhan 146)
Jonson Chong - 0 (keseluruhan (145)
Ansari Abdullah - 7 (keseluruhan 91)
Yusmadi Yusoff - 12 (keseluruhan 91)
Yahya Sari - 10 (keseluruhan 68)
Dominique Ng - 2 (keseluruhan53)
S Manikavasagam - 2 (keseluruhan 49)
Saiman Marjuki - 0 (keseluruhan 36)
James Ghani - 2 (keseluruhan 31)

-malaysiakini-

Pilihan Raya Kecil BN cemas pengundi Tionghua lebih minat dengan PAS


Kesungguhan jentera Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad begitu terserlah dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas kali ini. Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya menggambarkan keutuhan parti yang menakutkan Barisan Nasional.
"Kita tengok pergerakan jentera parti ini boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS," ujarnya.

Beliau ditemui ketika bersama Dr Zulkefli dalam siri kunjungan muhibbah ke Kampung Pulai yang mempunyai 471 pengundi, majoritinya kaum Tionghua.

Nurul Izzah juga berkata dalam masa berkempen, penerimaan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS amat memberangsangkan seperti lawatan di Kampung Baru dan Kampung Pulai.

"Di Kampung Pulai sudah ada pos yang didirikan oleh kaum Tionghua dan mereka sanggup bertungkus lumus untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat ini, saya ucapkan syabas kepada penduduk di kampung ini yang sanggup berubah dalam memberi sokongan," katanya lagi.

Katanya, kempen kali ini akan digunakan oleh KeADILan untuk menjelaskan soal penindasan terhadap masyarakat Tionghua di Kampung Pulai yang sebelum ini menerima bantuan baja.

Namun, katanya setelah mereka tidak lagi berpihak kepada BN dan mendirikan pos untuk Pakatan Rakyat, nama mereka dengan serta merta dibuang dari senarai penerimaan baja tersebut.

Menurutnya, usaha jentera parti kali ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Tionghua akan dapat meningkatkan jumlah undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PAS.

"Masyarakat Tionghua di Kelantan mempunyai  pendirian politiknya tersendiri kerana mereka sudah lama berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz dan mereka tahu apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mereka," kata beliau lagi.

Antara Fatmi Dan Ramzi,Dalam Mata Umno

Mohd Sayuti Omar
KETIKA berada di tempat di lokasi persiapan perarakan calon Umno di Galas tempoh hari saya kesempatan memerhati lagak dan gaya para ahli dan pemimpin Umno. Paling ketara ialah bagaimana pemimpin Umno yang berkedudukan dan ada kuasa dihormati dan dikerumuni macam burung ketut (pungguk) dihurungi oleh sang burung-burung lain.

Mereka yang ada kuasa atau talian terus dengan sang penguasa ini nampak sekali dirai dan disanjung. Semua datang bersalam ataupun bertepuk bahu, bercanda menunjukkan kemesraan dengannya.

Berlainan dengan mereka yang tidak ada kuasa atau pun hubungan langsung dengan menteri atau perdana menteri. Atau lebih tepat dikatakan bekas. Mereka ini tidak dipedulikan lagi. Kalau bersalaman pun ala kadar sahaja dan tidak berlama-lamaan untuk bertanya khabar dan bergurau senda seperti mana dengan orang yang ada kuasa. Kalau bersalam dengan orang ada kuasa lama dan mahu pula menunjukkan yang mereka akrab dan rapat. Jika ada jurukamera lalu mereka akan bertengek dekat orang berkuasa itu untuk diambil gambar.

Untuk memberi gambaran ini saya mengambil contoh macam mana perbezaan layanan orang Umno kepada dua orang yang keduanya saya kenal dan baik dengan saya, Fatmi Che Salleh dan Ramzi Abdul Rahman. Dari segi pencapaian politik di Kelantan mereka ini lebih kurang saja. Fatmi adalah ketua bahagian Umno Kota Bharu, manakala Ramzi ketua bahagian Kuala Krai. Mereka kini hanya dibezakan oleh kedudukan, Fatmi selaku setiausaha politik perdana menteri manakala Ramzi pula bekas setiausaha politik perdana menteri.

Sebenarnya kehebatan dan kegahan yang dirasai Fatmi kini sudah dilalui oleh Ramzi. Aura ataupun sanjungan orang terhadap Fatmi kini sudah dikecapi Ramzi. Bagaimana kuasa yang ada kepada seorang setiausaha politik sudah dilaluinya. Tetapi ternyata sekali di antara penyandang dan bekas penyandang jawatan yang sama itu bezanya seperti Kutub Utara dengan Kutub Selatan, atau seperti ikan selayang dengan ikan aya.

Di lokasi itu saya memerhatikan tanpa di sedari kedua mereka. Sebaik saja Fatmi muncul di tempat perarakan itu semua orang berebut-rebut untuk bersalaman dengannya. Beliau diikuti macam anak ayam yang mengejar ibunya melarikan seekor cacing. Tidak cukup tangan Fatmi untuk bersalaman dengan setiap orang yang mendekatinya.

Kemunculan Rais Yatim di situ juga diatasi oleh kemunculan Fatmi. Saya nampak Rais tidak begitu dikerumuni oleh orang Umno.

Sebentar kemudian masuk pula Ramzi bersendirian. Tiada sesiapa mengekori sebagai pengawal atau pun jong dondangnya. Tidak ada siapa menyambut beliau. Seolah kemasukan atau kehadirannya tidak disedari. Mereka yang mengerumini Fatmi tidak beralih pandangan. Paling jelas Ramzi pula yang terkayan-kayan untuk mencari kawan ataupun cuba menyelitkan diri dalam kelompok itu elit itu, tetapi tidak begitu dipedulikan.

Setelah menyedari beliau tidak penting, Ramzi berjalan bersendirian. Dari kejauhan saya dapat merasakan betapa dia merasa tidak berguna dalam keadaan itu. Apa yang dilalui itu amat berbeza semasa beliau menjawat jawatan setiausaha politik. Ketika memegang jawatan itu, keadaanya samalah seperti Fatmi hari ini, tidak cukup tangan beliau bersalaman dengan para peminat yang semuanya menyimpan 'anak kerengga' dalam baju.

Apa yang saya saksi itu menjelaskan keadaan di dalam dunia Umno. Bahawa begitu sekali maruah dan darjat seseorang itu akan jatuh ke bumi kalau dia tidak lagi ada kuasa. Keadaan begitu hina sekali serolah-olah itik tidak sudu ayam tidak patut.

Kenapa ini berlaku? Jawabnya tidak lain kerana Umno tidak mengajar budaya menghormati sesama manusia sebagai hamba Allah. Tidak menghormati sesama manusia sebagai ahli Umno. Sebaliknya Umno membawa budaya, seseorang itu perlu dihormati bila ia ada kuasa dan kedudukan. Semua itu boleh ditafsirkan bahawa Umno adalah pertubuhan yang mengajar manusia menghormati orang kerana kuasa dan kedudukan bukan menghormati orang kerana darjahnya sebagai manusia atau ahli parti.

Jadi tidak hairanlah kalau ramai kalangan ahli Umno yang sudah tidak berkuasa merasakan mereka disisih dan dilupakan kemudian perlahan-lahan akan menginsutkan langkah mendeakti parti lain ataupun mengambil sikap bermain dengan cucu dan cicit di kebun belakang rumah
.

Nampak kepala rakan tercabut di hadapan mata

BENTONG: Nasib tidak menyebelahi 44 belia dari Persatuan Belia 4B Kampung Siong, Baling apabila terlibat dalam kemalangan yang berlaku lewat petang semalam. 

Kejadian berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur apabila rombongan terbabit bersama seorang pemandu bas dan pemandu kedua dalam perjalanan turun dari Genting Highlands. 

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur. 

Menurutnya, mereka bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin. 

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak. 

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada Sinar Harian. 

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur. 

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik. 

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain. 

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya. 

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan. 

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata. 

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku. 

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands. 

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih. 

Saiful yang cedera di bahagian kaki berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di Baling.

Polis: Pemandu bas korban tujuh tiada lesen memandu

KEADAAN bas pelancongan yang terbalik di di Kilometer 38 Genting Sempah, dekat susur masuk ke Genting Highland yang mengorbankan enam nyawa, 21 cedera, 7.50 malam tadi.Foto Luqman Hakim Zubir (29/10/10)KUALA LUMPUR, 30 Okt: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

“Pemandu bas tersebut sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Husin berkata pemandu tersebut yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata polis sedang menyiasat sama ada pemandu tersebut mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan tersebut.

Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar, katanya.

Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada pukul 7.50 malam tadi.

Bas tersebut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.

Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi semalam.

Pada pukul 7 malam tadi, rombongan itu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.
-Bernama-

80 Berkumpul Depan Bukit Aman Bantah Kehilangan Selvachandran

KUALA LUMPUR,  30 OKT : Sekumpulan ahli politik dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Balai Polis Bukit Aman pagi ini menuntut maklumat di mana K. Selvachandran ditahan.

Selvachandran, adalah saksi utama dalam inkues menyiasat punca kematian R. Gunasegaran, yang mati ketika berada dalam tahanan polis dua tahun lalu.

Mahkamah koroner yang menjalankankan inkues menyiasat punca kematian Gunasegaran mengumumkan keputusan terbuka pada inkues berkenaan.

Sekumpulan 80 individu, termasuk ahli parlimen PKR Subang, R. Sivarasa ahli parlimen Klang, Charles Santiago peguam N Surendran dan wakil beberapa ahli NGO termasuk isteri dan sanak saudara Selvachandran berkumpul sejak jam 10 pagi tadi.

Kumpulan terbabit melaungkan slogan dan menuntut polis memastikan keselamatan Selvachandran dan mahu beliau dibebaskan segera.

"Kami akan hanya beredar selepas berpuashati bahawa Selvachandran berada dalam keadaan selamat dan kami akan serahkan memorandum kepada polis untuk jalankan siasatan menyeluruh," kata Latheefa Koya kepada media.

Sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dipercayai menyerbu rumah Selvachandran malam Isnin lalu beberapa jam selepas keputusan terbuka inkues berkenaan diumumkan.

Kumpulan terbabit didakwa telah menggari Selvachandran di hadapan keluarganya sebelum mengheretnya keluar dan memukulnya.

Isteri beliau cuba menghalang tetapi dimaki hamun oleh kumpulan terbabit yang kemudiannya menunjukkan kad kuasa yang mendakwa mereka anggota polis.

Selvachandran dilaporkan hilang sejak insiden berkenaan.
-tvsnews-

Zulkifli pembohong besar

Amizudin Ahmat
KUALA LUMPUR, 29 Okt: Pemimpin Keadilan dan DAP menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bahawa mereka mengadakan pakatan rahsia dengan mengetepikan PAS bagi menjamin dominasi kepimpinan Cina jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai Putrajaya. 

Sebaliknya kepimpinan kedua-dua parti itu membidas Zulkifli Noordin, yang keluar keadilan awal tahun ini, sebagai pembohong yang memutarbelitkan cerita untuk 'berkhidmat' kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).


“Tiada pakatan atau perjanjian rahsia sama sekali. Ini cerita mengarut Zulkifli yang hanya berminat untuk memecahbelahkan anggota Pakatan Rakyat.

“Dia ahli politik yang sudah bankrup, yang digunakan oleh BN untuk membangkitkan dakwaan-dakwaan seperti ini ke atas kami,” kata Azmin Ali.


“Kami bukan macam B-end,” kata Azmin yang menyifatkan Zulkifli sebagai “anjing yang menyalak.”

Azmin juga berkata, serangan bertubi-tubi B-end terhadap mereka membuktikan bahawa perikatan diterajui Datuk Seri Najib Razak terganggu dengan perpaduan kukuh di kalangan pemimpin DAP, Keadilan dan PAS.

“Kami berada dalam kedudukan mantap sekarang. Kami akan terus kuat, bersatu dan akan membuktikan untuk muncul barisan yang menggerunkan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kekuatan Pakatan Rakyat ialah menerusi (pendekatan) perbincangan sepanjang masa dan datang dengan (keputusan) konsensus,” kata Azmin lagi.

Semalam, Zulkifli mendakwa DAP dan Keadilan membuat perjanjian sulit di luar pengetahuan PAS untuk memberi kuasa kepada DAP memerintah di tiga negeri sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Zulkifli mendakwa hubungan rapat antara DAP dan Keadilan adalah didorong oleh perjanjian kuasa tersebut.

“Saya rasa perkara ini kawan-kawan saya dalam PAS juga tak tahu. Sebenarnya ada perjanjian sulit antara mereka iaitu jika Keadilan menang di peringkat Persekutuan, kuasa autonomi akan diberikan kepada Pulau Pinang.

“Calon Melayu akan diletakkan di Perak dan Negeri Sembilan, kalau menang, Menteri Besar akan dilantik dari kalangan DAP... saya mohon perkara ini dipandang berat,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.

Beliau yang merupakan anggota ke-100 mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang tersebut juga menyarankan lebih banyak bahan bacaan berhubung peristiwa 13 Mei diterbitkan untuk membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar di sebalik peristiwa hitam berkenaan.

Penasihat DAP Lim Kit Siang yang senada dengan pandangan Azmin pula mempertikaikan waktu wakil rakyat itu membuat “pendedahan” itu.

“Tiada perkara sedemikian, ia tidak benar. Ke mana dia hendak pergi dengan ini (kenyataan),” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini.

“Apa yang dia katakan itu cerita dongeng. Parlimen tidak harus dijadikan tempat untuk membuat cerita-cerita dongeng,” kata beliau

Bagaimanapun pemimpin veteran ini enggan mengulas lanjut atas alasan tidak mahu memberi tumpuan kepada bekas pemimpin PR itu.

Pengarah Pilihan Raya Keadilan Fuziah Salleh juga mengetepikan dakwaan Zulkifli sambil berkata, beliau melihatnya sebagai perkara “normal” memandangkan PR berhadapan dengan dua pilihan raya kecil sekarang.

“Ini perkara biasa bagi Zulkifli Noordin, ini helah untuk dia berkhidmat bagi pemimpin-pemimpin politik (dari BN).

“Biasalah, hari pengundian semakin dekat, kami memang telah menjangkakan yang dia akan muncul dengan perkara-perkara macam ini,” kata Fuziah lagi.

“Zul, berhentilah daripada bercakap cerita dongeng... bertanggungjawab dengan tindakan-tindakan kamu,” kata Fuziah yang menyelia jentera pilihan raya Keadilan di Batu Sapi sekarang.

Malah Fuziah menegaskan, Keadilan sama sekali tidak akan membuat pakatan berasingan bersama DAP dengan mengetepikan PAS.

“Kami menafikan dakwaan ini. Ia tidak benar. Jika anda melihat, kesemua PAS, DAP, Keadilan, kami bersatu,” kata beliau sambil menambah, “mengapa kami perlu buat macam ini?”

“Ia bukan ciri politik dalam Pakatan Rakyat. Dia pembohong,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)