2 wanita Myanmar ditemui mati dibunuh

MELAKA: Dua wanita warga Myanmar berusia sekitar 30-an, ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam rumah di Taman Malim Permai dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan pukul 2.15 petang, menemui mayat isteri kepada tuan rumah itu di ruang tamu, manakala mayat pembantu rumahnya di ruang dapur.

"Anak wanita itu yang berumur enam bulan ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah itu, tidak dicederakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah itu.

Beliau berkata, semasa kejadian suami wanita itu yang dipercayai seorang peniaga rakyat Myanmar tiada di rumah, dan menurutnya kematian kedua-dua wanita itu disedari oleh adik kepada wanita tuan rumah itu yang datang ke rumah tersebut tengah hari tadi.

Katanya, siasatan awal polis mendapati berlaku pergaduhan dalam rumah itu sebaik sahaja dua lelaki memasuki rumah tersebut pagi tadi.

Raja Shahrom berkata, sebilah pisau dan satu penukul yang dipercayai digunakan dalam insiden itu ditemui di tempat kejadian, dan polis sedang menyiasat sekiranya ada barang berharga yang hilang dari rumah itu. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan