Anwar Kesal Nota Perubatan Terus Dinafikan, Perbicaraan Bersambung 14 Feb Depan

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kesal dengan tindakan Mahkamah yang menafikan pihaknya untuk mendapatkan nota perubatan selepas perbicaraan kes fitnah 2 terhadapnya akan bersambung pada 14 Februari hingga 25 Mac 2011.



Beliau dalam twitternya berkata prosiding kes itu akan berlangsung selama sebulan tetapi nota perubatan tetap dinafikan.
Sementara itu, Sankara Nair dalam reaksinya memberitahu media bahawa apa yang membimbangkan pihak pembelaan adalah mengenai kehadiran pakar perubatan mereka disebabkan banjir di Australia.
"Kebimbangan kami adalah pakar-pakar kami tidak senang sehingga 20 Februari ini disebabkan keadaan banjir di Australia. Pakar kami terbabit dengan kerja forensik dan DNA tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk membawa salah seorang daripada mereka ke sini," kata beliau.
Mantan Timbalan Perdana Menteri didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di antara pukul 3.01 hingga 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Anwar mengaku tidak bersalah, mendakwanya sebagai "berniat jahat, dan dipenuhi dengan pembohongan oleh mereka yang berkuasa" semasa tuduhan itu dibaca kepadanya.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 377B kanun keseksaan dan boleh dihukum maksimum 20 tahun penjara dan sebatan jika didapati bersalah.
Perbicaraan tersebut telah mengambil masa selama 18 bulan semenjak beliau dihadapkan ke Mahkamah pada bulan Ogos 2008.
Sebelum itu, beliau juga telah ditudih meliwat dan rasuah pada 1998 selepas beliau dipecat daripada Kabinet dan kemudiannya didapati bersalah dalam perbicaraan yang penuh kontroversi dan dipenjarakan ke atas kedua-dua kesalahan.
Beliau kemudiannya dibebaskan pada September 2004 dan kembali ke arena politik apabila memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihanraya Kecil pada 2008, yang disandang isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam tempoh dua tahun tersebut, Anwar telah mengetuai Pakatan Rakyat, dan mencatat sejarah apabila menyapu bersih lima negeri dan 82 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2008.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan