Isu Azan: Desakan naib presiden MCA bakal menjadikan Malaysia seperti Singapura, kata Mufti Selangor

SHAH ALAM, 16 JAN: Desakan naib presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya kerajaan Umno-Barisan Nasional mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau adalah mirip taktik yang digunapakai di Singapura untuk membendung Islam, kata Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.


Katanya, cadangan oleh pemimpin MCA itu seolah-olah cubaan untuk menjadikan Malaysia seperti Singapura yang melarang laungan azan didengar dari luar lingkungan kawasan rumah ibadat termasuk masjid.

"Ini adalah satu agenda daripada luar, kalaulah Singapura berjaya untuk menahan ataupun memperlahankan azan di surau, jadi mereka nak supaya Malaysia macam seperti itu juga. Kita ini beragama Islam,  agama Persekutuan tidak mungkin kita hendak ikut agama jiran? Saya cukup tidak suka perkara ni," ujar Tamyes ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Cadangan Ping Siue itu dibuat pada hari sama akhbar The Star yang juga di miliki oleh MCA menyiarkan lidah pengarang, membidas kerajaan negeri Selangor kerana mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah yang melarang orang Islam bekerja dipremis menjual arak.

The Star menyifatkan langkah itu sebagai cubaan untuk menerapkan undang-undang Islam di Selangor dalam cubaan terdesak untuk meraih sokongan bukan Melayu untuk MCA di bawah presiden barunya Chua Soi Lek.

Portal The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Ping Siue sebagai berkata, kemelut laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah Kampung Kerinchi harus diambil bagi mengawal selia penggunaan pembesar suara di semua rumah ibadat demi mengelak perselisihan faham di kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut Tamyes, soal laungan azan harus dilihat dari sudut keperluan agama Islam sendiri dan keperluan pemerintah Islam mempertahankan keperluannya.

"Ini (laungan azan) adalah satu syiar Islam yang menjadi tanggungjawab kepada umat Islam, khasnya pemerintah yang beragama Islam mempertahankan perkara ini.Ia sebenarnya syiar Islam yang begitu sensitif kalau sekiranya diperlahankan," kata beliau.

Ping Sieu adalah pemimpin MCA pertama mempersoalkan keperluan memperlahankan laungan azan dan penggunaan pembesar suara di rumah ibadat termasuk masjid dan surau.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah aduan seorang ahli MCA, sebagai "mainan politik" pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Ketua Imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu. Namun Jamil menafikan pihaknya mengeluarkan arahan seumpama itu walaupun mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada ahli MCA berkenaan.  

Kelmarin, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak ahli MCA berkenaan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Susulan bantahan itu, ahli MCA berkenaan yang tinggal di Pantai Hill Park iaitu kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Ikhlasiah dilaporkan akan berpindah dari kawasan itu. 
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan