Kanak2 Perempuan Ini Ditemui Merayau Dalam Keadaan Lemah Di Cheras

KUALA LUMPUR, 17 JAN:  Seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun ditemui merayau dalam keadaan lemah dan pakaiannya kotor di sekitar Damai Perdana, Cheras di sini malam tadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob berkata kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Siti Aishah itu ditemui oleh orang awam ketika sedang merayau seorang diri kira-kira pukul 9 malam.

Beliau berkata kanak-kanak itu tidak dapat memberitahu nama ayah dan ibunya serta tempat tinggalnya mungkin kerana masih dalam keadaan yang bingung dan lemah.

Katanya orang awam yang menemui Siti Aishah membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Damai Perdana, dan kanak-kanak itu hanya dapat beritahu yang dia bersekolah di sekitar Sungai Besi Indah.  

"Kanak-kanak itu yang ditemui sehelai sepinggang memakai t-shirt putih bercorak kartun 'Ratatouille', berseluar trek hitam, selipar kelabu dan memakai cekak rambut berwarna merah jambu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Damai Perdana di sini.

Azman berkata polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan kanak-kanak di kawasan berkenaan, dan Siti Aishah kini berada dalam jagaan pihak polis buat sementara waktu.

"Kami minta ibu bapa atau keluarga kanak-kanak ini supaya tampil ke balai untuk menuntutnya, atau hubungi balai polis Damai Perdana dengan menelefon 03-9105 6222," katanya dan menambah kanak-kanak itu sudah dibawa berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan dan dia didapati demam.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan