Laporan CNN lambang ketakutan Najib - Anwar

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 28 Jan: Laporan Cable News Network (CNN) yang bertajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al Qaeda” memperlihatkan ketakutan Datuk Seri Najib Razak untuk berhadapan Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Demikian kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Anwar, laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiayai beliau untuk Pilihanraya Umum yang akan datang.

Katanya, laporan ini menyerlahkan ketakutan serta rekayasa Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha mereka demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

Kehadiran Buku Jingga (gambar kanan), sebuah dokumen yang mengandungi hasrat serta saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari terus parah akibat kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno-BN, memunculkan rasa takut Najib, tegas Anwar.

Katanya, Najib sedar dokumen tersebut mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno-BN kepada rakyat.

Presiden Umno itu pastinya tahu rakyat tidak akan menerima bulat-bulat pengumuman demi pengumuman yang digarap semata-mata memenuhi maksud iklan, dakwa beliau.

"Ketakutan ini malah membuat beliau enggan berdebat secara terbuka berkenaan kedudukan ekonomi negara dengan saya. Malah, Perdana Menteri tidak segan silu menyerang saya secara peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia.

"Saya tidaklah terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya.

"Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin Perubahan yang bakal melanda. Mereka sedar rakyat Malaysia sudah mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat," kata Anwar lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan