Rakyat Selangor mahu kembalikan kuasa Raja - UMNO setuju tak?

Aspan Alias
Kalau benar UMNO itu mendaulatkan Raja-Raja Melayu parti itu patut membetulkan apa yang telah dirosakannya sejak krisis perlembagaan yang dilakukan pada tahun 1993 dahulu. Itulah cabararan yang diberikan oleh TS Khalid Ibrahim kepada UMNO semasa berucap diSubang Jaya semalam.

Khalid meminta UMNO menunjukkan bukti dengan menyokong pindaan perlembagaan secara retrospektif yang akan diusulkan dalam persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor hujung bulan ini

Kerajaan PR Selangor akan mengusulkan pindaan itu untuk mencari penyelesaian ‘once and for all’ dalam isu kuasa melantik pegawai tertinggi Selangor yang menjadi Ex- Officio didalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri itu.

Cabaran Khalid kepada UMNO itu jika disokong oleh UMNO maka akan terbuktilah parti ini benar-benar jujur kepada institusi Raja Berpelembagaan yang telah kita terima sebagai sistem pemerintahan negara kita sejak kita merdeka dahulu. Jika kita memberikan sokongan kepada pindaan itu UMNO akan dapat memadamkan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpinnya pada tahun 1993 dahulu.

Walaupun setengah pemimpin UMNO kita dan penyokong-penyokongnya memberikan alasan yang pindaan pada tahun 1993 dahulu ialah untuk memperbetulkan sikap setengah Raja-Raja Melayu dan keluarganya, tetapi rakyat yang mempunyai siasah dan sahsiah yang murni tidak akan mempercayai alasan itu. Sebenarnya ianya dilakukan kerana hendak mempertahankan kuasa seorang pemimpin politik yang inginkan kuasa sepanjang hayat beliau. Berkuasa dalam jangka masa yang panjang itu merupakan ‘ultimate’ kepada perjuangan beliau.

Jika benarlah alasan itu baik, kenapa pindaan itu telah mengakibatkan kacau bilau didalam sistem pemilihan SS Selangor baru-baru ini? Telah terbukti jika kuasa yang telah ditarik balik dari Raja-Raja Melayu itu telah disalah gunakan oleh kerajaan Persekutuan dengan menghantar seorang pegawai untuk mentadbir negeri tanpa kerelaan Menteri Besarnya.

Kita semua tahu yang kita adalah negara Persekutuan dan saya ulangi yang kedaulatan Malaysia itu datangnya dari kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Tidak menhormati kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri bermakna kita tidak menghormatai kedaulatan kita sendiri.

Tindakkan tidak mengormati kerajaan yang memerintah salah sebuah negeri didalam Persekutuan itu merupakan tindakan yang tidak bersahsiah dan ianya melambangkan yang kerajaan persekutuan itu seolah-olah mempunyai ‘attribute’ seperti kerajaan MalayanUnion (MU) anjuran British pada tahun 1946 yang lalu.

Kita mengaku yang kita mendaulatkan Raja-Raja Melayu. Oleh itu pulangkanlah balik kuasa itu kepada Istana. Jangan bermuka-muka dan jangan berbohong kepada rakyat dan Raja. Kalau sikap bermain ‘kong kalikong’ ini diteruskan kita takut suatu hari nanti rakyat akan meminta kita membuka mulut pemimpin kita luas-luas kerana nak pastikan jenis lidah yang ada dalam mulut mereka itu.

Kita mesti elakkan dari rakyat menganggap pemimpin kita mempunyai lidah biawak yang bercabang-cabang. Apabila persepsi ‘lidah bercabang’ ini sudah terbenam dalam benak rakyat maka kita akan dihumbankan oleh mereka. Berbohong kepada rakyat merupakan kesalahan yang sangat besar disebuah negara demokrasi yang kononnya hendak menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Malahan ramai pemimpin-pemimpin besar negara maju telah kecundang kerana membohongi rakyat.

Jika berangan hendak menjadi pemimpin negara maju sikap dan nilai kepimpinan kita mesti selari dengan pemikiran dan mentaliti pemimpin negara maju. Pemimpin kita jangan begegar-gegar bercakap tentang negara maju tetapi mentalitinya seperti pemimpin-pemimpin dikebanyakkan negara Afrika. Sekarang ini pun ada pihak yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’.

Oleh itu jangan kita membuat spekulasi dahulu. Kita terus tunggu dan lihat samada UMNO benar-benar menunjukkan kepada rakyat yang mereka tidak berdolak dalik dalam isu mempertahankan kedaulatan Raja_Raja seperti yang dilaungkan mereka dimana-mana.

Jika UMNO handak membuktikan yang parti ini memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu menyokong pindaan yang akan diusulak oleh DUN Selangor nanti merupakan kesempatan keemasan bagi mereka untuk melakukannya….betul ke tidak?

Barulah rakyat percaya yang kita tidak berbohong. DAN kita pun akan merasa bangga untuk mengaku sebagai ahli UMNO dan rakyat tidak akan menunjuk kearah kita dengan mencemekkan bibir mereka kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan