KUALA LUMPUR, 4 Jan: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menghormati keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar untuk terus kekal dalam Umno.
"Saya hormati pilihan dan keputusan saudara Khairy," kata Tantawi dalam twitternya bagi menjawab maklumbalas Khairy terhadap pelawaannya agar anggota Parlimen Rembau itu menyertai PAS.
Khairy dalam twitternya sebelum itu berkata, "Saya ucapkan terimakasih kepada Tantawi atas tawaran beliau. Tapi tetap Umno dulu, kini & selamanya."
Khairy membuat jawapan itu kepada seorang rakannya yang bertanya dalam twitter, "Bro, betul ke hang masuk PAS?"
Semua ini bermula apabila Khairy dalam twitternya memaklumkan dia tidak akan mempertahankan kerusinya di Rembau dalam pilihan raya umum akan datang.
Ia telah dilihat sebagai tindakan merajuk Khairy kesan dari layanan buruk Umno dan pemimpinnya terhadap beliau sebagai Ketua Pemuda. Ini kerana, Khairy tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan sedangkan timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dilantik sebagai timbalan menteri.
Ekoran itu, Nasrudin dalam kenyataannya mempelawa Khairy menyertai PAS.
"Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam," kata Nasrudin dalam kenyataannya itu.
"Saya mengajak Khairy mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita," tambah Nasrudin.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong memujuk Khairy secara terbuka agar jangan berhenti dari politik.
"KJ, jangan berhenti. Anda masih muda. Ramai rakyat Malaysia terutama jenerasi juda masih memerlukan anda. Mestilah ada jauh dan bangun," kata Wee Ka Siong melalui twitternya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan