Tanah wakaf masjid pun difaraid orang Umno

Dinsman
Jumaat lepas saya solat di Masjid Nurul Iman, Rawang. Seperti biasa, tiba awal di masjid tidak susah mencari parking kereta, dan selesa mengambil tempat duduk di dalam masjid. Orang belum ramai. Saya pilih saf ketiga di depan.

Sedang beriktikaf, tiba-tiba terdengar satu suara yang begitu familiar memberi salam dan memulakan tazkirah. Satu suara yang lembut tetapi jelas dan sedap didengar. Tidak terasa seperti suara yang tiba-tiba datang mengganggu orang beriktikaf.

Apabila dilihat ke depan nampaklah orangnya yang sedang memberi tazkirah itu. Dia berdiri. Memang susuk yang familiar. Dr Badrul Amin, atau biasa juga dipanggil Ustaz Badrul Amin. Seorang tokoh dalam pimpinan Parti KeAdilan Rakyat yang agak berbeza daripada tokoh-tokoh lain dalam parti itu, hingga ada orang mengatakan dia sepatutnya jadi orang PAS.

Ustaz Badrul Amin memberi tazkirah sebelum solat Jumaat? Ya, apa salahnya! Saya bertanya dan menjawab sendiri di dalam hati. Bertanya begitu kerana belum pernah melihatnya memberi tazkirah Jumaat, dan menjawab begitu kerana dia memang layak. Bukan sekadar layak seperti layaknya ustaz-ustaz kebanyakannya yang selalu memberi tazkirah, tetapi lebih daripada itu.

Apa lebihnya? Lebihnya ialah pada caranya, pendekatannya, gayanya dan juga suaranya. Bukan kerana dia pernah menjadi pensyarah di universiti (UIA), tetapi saya rasa kerana dia memang seorang yang berbakat di bidang ini. Lihatlah itu, terasa yang dia begitu mesra dengan jemaah di depannya.

Buat baiklah, katanya. Allah suka dengan orang yang buat baik. Dan beruntunglah orang yang hari ini dia lebih baik daripada hari semalamnya. Amalannya hari ini lebih baik daripada semalam; ilmunya hari ini bertambah sedikit daripada hari semalam, dan seterusnya, kerana setiap hari yang bertambah itu bermakna modal kita bertambah. Apabila modal bertambah, kalau untung tak bertambah, maknanya kita sedang mengalami kerugian.

Sedang sedap kita mengikuti tazkirahnya itu dia pun memperkenalkan diri. Katanya dia hadir sebagai Pengarah Penerangan di Pejabat Menteri Besar Selangor, mewakili Menteri Besar untuk memberi penjelasan mengenai satu isu yang sedang hangat diperkatakan di kalangan orang Islam di Rawang, iaitu isu sebuah surau hendak dirobohkan.

“Itu bukan kerja kita,” katanya. “Kita bukan orang yang hendak merobohkan masjid atau surau. Kerja kita hendak memakmurkan masjid, memakmurkan surau.”

Maka dia pun menjelaskanlah kedudukan sebenar isu yang dikatakan pihak kerajaan Selangor hendak merobohkan sebuah surau di tengah-tengah bandar Rawang itu. Satu lagi cerita bagaimana orang-orang Umno di Selangor sedang ghaflah dan gelabah hendak menutup pekung dan tembelang mereka yang satu demi satu sedang terdedah dan mengeluarkan bau busuk, yang menyedarkan seluruh rakyat betapa jahatnya mereka selama ini.

“Tanah itu sebenarnya tanah hak massjid ini,” kata Ustaz Badrul Amin. “Jadi kita sedang berusaha hendak mengambil balik tanah itu dan serahkan kepada pentadbiran masjid ini.”

Kelihatan beberapa orang yang duduk berhampiran dan di depan penceramah itu mengangguk-anggukkan kepala mereka. “Oh.. begitu rupanya!” agaknya demikianlah hati mereka berkata.

Dan saya membayangkan kalau hal yang serupa begini dapat dijelaskan kepada rakyat, khasnya orang-orang Melayu di seluruh Selangor, akan kedudukan sebenar banyak lagi perkara-perkara jahat yang dilakukan oleh orang-orang Umno selama ini, maka demikianlah rakyat Selangor akan mengangguk-anggukkan kepala mereka.

Tanah itu asalnya tanah wakaf. Tetapi pada tahun 2003 pihak pentadbiran masjid ini telah membuat pecahan lot ke atas tanah wakaf tersebut, dan membahagi-bahagikan di kalangan mereka, seramai tujuh orang. “Satu untuk kau. Satu untuk aku. Fahamlah ya!” kata Badrul Amin.

“Sedangkan undang-undang atau Enakmen tanah tidak membenarkan tanah wakaf dipindah milik kepada orang lain, samada dijual ataupun untuk dibangunkan. Tanah wakaf mestilah kekal sebagai tanah wakaf,” jelas Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor itu lagi, di dalam tazkirahnya sebelum solat Jumaat itu.

Maka demikianlah. Yang dihebohkan kononnya pihak Kerajaan Negeri Selangor hendak merobohkan surau. Ada yang kata Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu halang pihak pemaju yang hendak merobohkan surau itu untuk suatu projek pembangunan. Macam-macam cerita. Timbul juga cerita pemilik gerai di atas tanah tersebut yang sudah bertahun-tahun membayar sewa kepada orang yang mendakwa mengutipnya untuk surau, tetapi pihak surau itu tidak pernah pun menerima duit tersebut.

Apa pun, yang jelasnya satu lagi tembelang dan pekong Umno sedang terbongkar. Tanah wakaf kepunyaan masjid! Tergamak mereka mengambilnya dan membagi-bagikan sesama mereka, seperti penyamun dalam filem P.Ramlee itu membagi-bagikan harta hasil rompakan mereka. Memang mereka merompaklah tu! Lagi jahat daripada penyamun dalam filem P.Ramlee. Penyamun pun tak merompak tanah wakaf masjid.

Tapi itulah pemimpin Umno. Yang ada kuasa besar, besarlah rompakannya. Yang ada kuasa kecil, kecillah rompakannya. Asalkan ada kuasa, maka adalah yang dirompak mereka.

Baguslah Dr Badrul Amin! Sangat berkesan cara penyampaiannya. Dan lebih menariknya lagi, selepas selesai membuat penjelasan tersebut, pihak pentadbir masjid itu memaklumkan bahawa Ustaz Badrul Amin “akan menyampaikan khutbah dan akan mengimamkan solat Jumaat kita pada hari ini.”

Alhamdulillah! Seorang tokoh pimpinan dalam Pakatan Rakyat. Boleh bagi tazkirah, boleh baca khotbah Jumaat, dan boleh jadi imam solat jemaah. Dan yang lebih pentingnya bagi saya ialah kemahiran dan kebolehannya menyampaikan tazkirah dan khasnya khutbah Jumaat yang berkesan.

Pembaca yang mengikuti kolum ini daripada awal dulu tentu pernah membaca beberapa kali saya menyentuh hal khutbah Jumaat yang suka membebel meleret-leret dan gagal menyampaikan khutbah yang berkesan. Maka terlintas dalam fikiran saya: Alangkah bagusnya kalau Dr Badrul Amin diberi amanah untuk memimpin sebuah institusi yang dibina khas, iaitu Institut Latihan Khutbah Jumaat dan Tazkirah Masjid. Sebuah institusi yang sangat-sangat kita perlukan sekarang, demi memajukan ummah!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan