Tiada Unsur Dendam: Keputusan Speaker Tepat

SHAH ALAM, 20 JAN: Keputusan Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Kim mengistiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Kelang adalah tepat dan menjadi tugas beliau sebagai seorang speaker, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Haniza Talha.

Beliau turut menolak kenyataan Badrul Hisham Abdullah, yang menyifatkan tindakan keputusan Speaker DUN adalah semata-mata ingin membalas dendam bagi pihak Pakatan Rakyat yang marah dengan tindakannya keluar meninggalkan PKR pada Oktober 2009.

"Apabila seorang wakil rakyat tu tak hadir ke sidang, melebihi tempoh 6 bulan atau tempoh yang ditetapkan (6 bulan tak hadir kira dah langgar peraturan) jadi speaker mengisytiharkan kerusi wakil rakyat tu sebagai kosong, memang kuasa speakar.

"Dia (speaker) hanya menjalankan tugas sebab itu diperuntukkan dalam peraturan tetap, dia kena mengumumkanlah. Dalam undang-undang tubuh memang ada dinyatakan secara spesifik tuan speaker mengumumkan kerusi tersebut sebagai kosong," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Semalam, Speaker DUN Selangor mengumumkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah kosong setelah ADUN itu tidak hadir ke sidang DUN sejak Julai 2010.

Keputusan dibuat mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN selama lebih setengah tahun.
tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan