Waran tangkap anggota polis berhubung tuduhan palsu


PETALING JAYA, 26 Jan - Mahkamah Majistret di sini memerintahkan waran tangkap disempurnakan terhadap seorang anggota polis yang dipercayai melarikan diri bagi mengelak untuk dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid mengeluarkan arahan itu terhadap Lans Koperal Norzali Rosle, 25, dari Balai Polis Kota Damansara selepas dia tidak hadir ke mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan baru.
Norzali sepatutnya didakwa semalam terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan iaitu membuat tuduhan palsu sehingga mendatangkan bencana yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff membuat permohonan itu selepas pelbagai usaha untuk mengesannya gagal termasuk pergi ke rumahnya sejak semalam.
“Kami percayai Norzali telah melarikan diri ke Kedah sejak semalam dan kami percaya dia mempunyai pengetahuan mengenai pertuduhan ini,” katanya.
Pegawai penyiasat ASP Nasuha Ibrahim dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor memberitahu mahkamah bahawa polis menggunakan pelbagai cara untuk mengesan Norzali namun gagal.
“Isterinya yang ketika itu berada di rumah berkata, suaminya itu berada di Kedah tetapi isterinya enggan memberikan alamat terakhir, malah kami juga menemui ketua balai di mana tempat dia bertugas tetapi masih gagal,” katanya.
Mahkamah menetapkan 7 Feb ini untuk sebutan kes.
Pada 11 Jan lepas, empat anggota polis termasuk Norzali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya berhubung pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pembuat bingkai gambar.
Norzali bersama-sama Mohd Azwan Hassan, Ahmad Saifullah Osman dan Alizulhafiz Abdul Ghafar dituduh mencederakan Chia Buang Hing, 35, di Balai Polis Kota Damansara antara 12.30 pagi dan 3 pagi 19 Dis lepas.
Norzali dan Mohd Azwan juga menghadapi satu lagi pertuduhan mencederakan Chia di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Kota Damansara di sini antara 11.30 malam 18 Dis dan 12.30 pagi 19 Dis 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun tau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 
-selangorkini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan