Anwar Ibrahim sudah letih berjuang?

DINSMAN 
Melihat wajah terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar kita baru-baru ini, saya tiba-tiba terasa sesuatu. Tiba-tiba seperti tersedar bahawa masa telah lama berlalu semenjak tercetusnya Reformasi berikutan tindakan Mahathir menyingkirkan beliau daripada kabinetnya, awal September 1998.

Kebetulan pula waktu ini kita sedang menyaksikan Revolusi Mesir yang cuba menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak, telah masuk minggu ketiga namun Presiden itu masih juga belum jatuh. Sedangkan sebelumnya Presiden Tunisia terpaksa lari meninggalkan takhtanya tidak lama setelah rakyatnya bangkit.

Kita mengharapkan kebangkitan rakyat Mesir itu akan berjaya menjatuhkan Presidennya dalam tempoh waktu beberapa hari sahaja. Dan waktu itulah, apabila terpandang wajah Anwar Ibrahim yang telah banyak berubah itu, saya tiba-tiba seperti tersedar daripada suatu keadaan yang telah lama melupakan kita akan sesuatu.

Apabila terus direnung wajah itu, seperti terasa bahawa ia bukan sahaja menunjukkan tempoh waktu yang telah lama berlalu, tetapi juga menceritakan kepenatan dan keletihan akibat terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, halangan dan fitnah yang kadang-kadang melampaui batasan normal.

Dan itulah hakikatnya, dan itulah realitinya, dan itulah situasinya kita. September 1998 hingga kini sudah lebih 12 tahun. Teringat antara slogan yang sering kita jerit-jeritkan dulu: “Undur, undur! Undur Mahathir!” Dan Mahathir pun telah lama berundur. Malah penggantinya Abdullah Badawi juga telah pun berundur. Tetapi kita masih lagi gagal menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional itu.

Di manakah silapnya kita?

12 tahun adalah suatu tempoh yang cukup panjang untuk sebuah perjuangan bagi menjatuhkan sebuah kerajaan. Apalagi dalam suasana kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang sedang hangat dalam fikiran kita sekarang. Juga dalam kehangatan pengalaman menyaksikan orang Melayu yang masih tegar mempercayai Umno sebagai pembela nasib mereka walau apa pun maklumat sebaliknya yang cuba kita bentangkan ke hadapan mereka di PRK Tenang itu.

Memang tanda-tanda kezaliman Umno/BN itu semakin hari semakin nyata, dan tembelang kejahatan mereka pun semakin tersingkap. Itu tidak dinafikan. Di sebalik kritikan yang semakin lantang dan tajam itu pun nampaknya pihak mereka tetap gagal menunjukkan tanda-tanda berubah ke arah lebih baik, walaupun jelas mereka memang berusaha ke arah itu.

Memang mereka ingin berubah ke arah yang lebih baik dan ke arah yang diterima rakyat. Tetapi apakan daya mereka telah membentuk diri mereka sedemikian, dan ideologi atau ‘aqidah kebendaan’ mereka itu tidak akan memungkinkan mereka berubah seperti yang dikehendaki rakyat terbanyak. Hanya kepandaian mereka mempengaruhi (atau menipu) rakyat – itulah sahaja kelebihan yang ada pada mereka, yang terus mengekalkan mereka di situ.

Rupa-rupanya tidaklah begitu mudah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang (walaupun) zalim. Tokoh seperti Anwar Ibrahim yang kewibawaannya terserlah sejak di kampus universiti dan telah menunjukkan kehebatan-kepintarannya mendaki tangga kuasa dengan begitu tangkas, (dalam waktu singkat telah bersedia di tempat menunggu untuk mengambil alih teraju kuasa), dan beliau memahami sistem dan nilai dalaman pihak berkuasa tersebut, pun masih tidak berjaya melakukannya.

Di manakah silapnya kita?

Tentunya ada silap kita di mana-mana. Bukannya saya bermaksud hendak membuat tuduhan melulu berikutan keluarnya orang seperti Gobalakrishnan itu daripada parti KeAdilan, (seperti yang menjadi kemusykilan beberapa orang kawan). Bukan. Tak ada kena mengena dengan peristiwa itu. Hanya saya terfikirkan hal ini apabila merenungi wajah Anwar yang kelihatan seperti keletihan dan kepenatan itu.

Memanglah. Tidak mudah untuk mengekalkan momentum perjuangan dalam tempoh waktu yang begitu panjang. Ditambah dengan segala fitnah yang melanggar batasan itu lagi. Maka saya kira dalam kita ghairah membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka akan dibuat tahun ini, eloklah kita ambil sedikit masa untuk memikirkan hal ini.

Pengalaman saya dan kawan-kawan dalam bidang kesenian dan kebudayaan misalnya, memang menyedihkan. Sangat menyedihkan. Terutama di Selangor, negeri yang teraju pemerintahannya dipegang oleh Parti Keadilan Rakyat. Seolah-olah menunjukkan bahawa parti-parti Pakatan Rakyat ini hanya berpolitik sahaja. Hanya hendak merebut kuasa politik sahaja. Lain-lain hal tidak dipedulikan. Hal-hal kesenian dan kebudayaan seperti tidak ada nilai bagi mereka.

Itu salah satu silapnya kita. Maka bagi sesetengah pihak mereka melihat seperti PR ini minatnya hanya hendak mengambilalih kuasa sahaja. Hal-hal lain semuanya dianggap tidak penting dan tidak mustahak. Bahkan jangankan hal kesenian dan kebudayaan, hal sekelompok golongan “reformis” yang begitu nyata sumbangan mereka terhadap gerakan reformasi itu pun seperti tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Anwar Ibrahim bukanlah tokoh politik yang tidak mempunyai kesedaran budaya. Beliau malah dikenali juga sebagai tokoh pemimpin yang mempunyai kesedaran budaya yang tinggi. Maka hairannya mengapa boleh tertonjol hal seperti kurang kesedaran budaya itu di kalangan pihak-pihak berkenaan dalam PR?

Dan saya menimbulkan perkara ini bukanlah kerana memikirkan kepentingan orang-orang seni dan budaya. Saya menimbulkan perkara ini sebagai salah satu pemikiran ketika mengenangkan tempoh waktu sudah melewati 12 tahun kita reformasi, dan kita masih dihantui kebimbangan yang Selangor pun mungkin akan terlepas ke tangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Di manakah silapnya kita? Tentulah ada silap kita di mana-mana, ‘kan! 

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan