Apakah Nik Aziz `Pelacur Agama' ?

wfauzdin_ns

NAMPAKNYA serangan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz terhadap Umno ternyata berkesan. Apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz bahawa sesiapa yang tidak menyokong PAS sewaktu PAS bertanding menentang Umno di PRK Dun Tenang baru-baru ini adalah golongan Jahiliyyah membuatkan pemimpin Umno `sesak nafas'.

Maka, bermacam ulasan keluar untuk mengharamkan apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz walaupun Tuan Guru Nik Aziz berhujah berlandaskan Al-Quran. Umno pula berhujah berlandaskan akal yang cetek lagi jahil. Apabila politik mahu diasingkan dengan ugama, maka sudah tentu pendapat Tuan Guru Nik Aziz tidak boleh diterima oleh Umno.

Memetik kenyataan Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh, " Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau. ‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

Kenyataan di atas membuktikan betapa jahilnya beliau. Pernahkah PAS mengeluarkan fatwa bahawa ahli-ahli Umno kafir? Pemimpin PAS hanya pernah menyebut bahawa barangsiapa yang menolak hukum Islam termasuk hukum hudud yang diwajibkan oleh Allah, maka rosak akidahnya. Jika Umno terasa termasuk di dalam golongan yang menentang hukum Allah, maka fikirlah sendiri apa hukumnya.


Bagi menjawab soalan Omar Salleh itu yang mahu status nenek moyangnya yang tidak mengundi PAS sebelum PAS diwujudkan, adakah mereka kafir atau tidak, itu salah satu soalan orang yang masih Jahiliyyah. Beliau perlu tahu, semasa hidup nenek moyangnya sehingga mati, adakah nenek moyangnya beramal dengan perintah Allah dan tidak pernah menentang hukum Allah? Seandainya nenek moyang beliau pernah menentang hukum Allah dan tidak bertaubat sehingga mati, adakah matinya boleh dikatakan mati di dalam beriman? Omar Salleh jawab sendiri soalan beliau itu.


Islam bukan dibawa oleh PAS. Islam agama di sisi Allah dan dibawa oleh Nabi. PAS sebagai wadah politik ingin memperjuangkan hukum Allah ini. Samada PAS wujud atau tidak, kita sebagai umat Islam mesti menegakkan hukum Allah dengan apa cara sekali pun. Kita patut bersyukur kerana PAS wujud di negara ini sebagai wadah politik yang ingin melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Bayangkan jika Umno, MCA, Gerakan, MIC atau DAP sahaja yang wujud di negara ini, siapakah yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan Islam? Umno? Setelah lebih 50 tahun Umno memegang kuasa, mana lebih banyak Umno lakukan samada yang makruf atau yang mungkar?


Umno melakukan yang Makruf secara berpilih-pilih seperti membina masjid, Bank Islam, Universiti Islam, Tabung Haji, Takaful dan beberapa lagi program Islam, tetapi Umno tidak melaksanakan Nahi Mungkar. Umno menolak terus perundangan Islam. Umno tidak mencegah kemungkaran sebaliknya banyak menganjurkan kemungkaran. Menolak perlaksanaan Hukum Hudud, tetapi menerima baik Akta zalim ISA. Sudahlah tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini, Umno menyekat dengan kuasa yang mereka ada untuk menentang pihak lain yang ingin melaksanakannya.


PAS bukan agama, tetapi PAS membawa ajaran agama Islam itu sendiri. Jika ada satu pihak yang memperjuangkan Islam, dan satu lagi memperjuangkan bangsa semata-mata, mana satukah yang kita pilih? Jika kita tidak memilih perjuangan Islam, maka memang tepat jika kita digelar golongan Jahiliyyah. Hanya Jahiliyyah yang tidak mahu bersama Islam.
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan