Derita gara-gara terlanggar ular

MERBOK: Gara-gara terlanggar seekor ular sawa, seorang buruh terpaksa menanggung derita apabila mengalami sakit tulang belakang dan kebas separuh tubuhnya. 

Zahari Othman, 48, terlanggar seekor ular sawa yang dipercayai sebesar paha manusia ketika dalam perjalanan pulang menghantar kakaknya di Kampung Chandi Bukit Batu Pahat. 

“Satu malam ketika saya dan dua lagi anak ingin menghantar kakak pulang ke rumahnya, tiba-tiba anak saya menjerit memberitahu ada ular melintas jalan, tanpa sempat saya menekan pedal brek,” katanya ketika ditemui semalam. 

Menurutnya, pada malam selepas kejadian, dia bermimpi seorang lelaki tua datang dan berpesan kepadanya. 

“Saya bermimpi bertemu dengan seorang lelaki tua dan dia berpesan supaya jangan buat begitu kerana dia berasa sakit. 

“Pada masa yang sama juga saya menjawab bahawa tidak sengaja, sejurus selepas itu lelaki terbabit terus ghaib. 

“Apabila keesokannya, saya bangun dari tidur dan berasa sakit di bahagian tulang belakang bahkan separuh dari bahagian kanan badan tidak boleh bergerak,” katanya. 

Zahari juga berkata, dia sudah ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. 

“Saya sudah dua kali ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan, tetapi doktor memberitahu yang saya tidak mengalami masalah kesihatan,” katanya. 

Disebabkan kejadian itu, Zahari sudah tidak bekerja hampir sebulan kerana kesihatannya yang tidak menentu dan kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isterinya Fauziah Hashim, 48, yang bekerja sebagai pencuci. 

“Saya mempunyai enam anak yang semuanya masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi. 

“Sudah banyak tempat saya pergi untuk berubat, tetapi semuanya masih belum dapat mengubati penyakit yang saya hadapi ini,” katanya.

-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan