Inkues: Mangsa, pengawal peribadi Tengku Fakhry tengkar sebelum ditembak

TUMPAT, 20 Feb: Mahkamah Koroner di sini diberitahu bekas pengawal Istana Negeri Kelantan Ramli Mohamad pernah bertengkar dengan beberapa pengawal peribadi bekas Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, beberapa hari sebelum Allahyarham ditembak ketika menunggang motosikal ke rumahnya pada 1 Mei tahun lalu.

Pengawal Istana Negeri Lans Koperal Hafizi Azim Anim berkata pertengkaran itu berlaku ekoran tindakan pengawal peribadi berkenaan tidak membenarkan Ramli dan semua pengawal istana memasuki Istana Mahkota, atas arahan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bondanya, Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

“Ramli bertengkar kerana sikap kurang ajar pengawal peribadi itu terhadap pengawal istana yang terdiri daripada anggota polis, tetapi ia tidak sampai kepada tumbuk-menumbuk.

“Sampai satu ketika, Ramli pernah mengeluarkan kata-kata kepada pengawal peribadi itu yang menyebut “mu ingat mu gedebe ke’’,” katanya ketika memberi keterangan di depan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein, pada prosiding hari keempat inkues bagi menyiasat punca kematian mangsa yang ditembak penyerang tidak dikenali di Palekbang.

Ketika kejadian, Ramli menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli, selepas bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Hafizi Azim turut memberitahu mahkamah bahawa khidmat pengawal peribadi terbabit digunakan ketika bekas Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak April 2009.

“Pengawal peribadi itu telah mengambil alih tugas kami, dan kami tidak dibenarkan langsung mendekati bilik Sultan Kelantan pada masa itu, dan pernah beberapa kali berlaku pertengkaran,” katanya yang menambah keadaan itu berterusan sehingga Sultan Ismail Petra kembali ke Istana Mahkota kira-kira setahun selepas itu.

Pada malam kejadian, Ramli meminta kebenaran pulang pada kira-kira 12 tengah malam dan beliau hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa setelah menerima laporan mengenainya.

“Esoknya, saya dapat bertemu dengan Ramli di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dia memaklumkan yang dia telah ditembak, namun selepas itu, dia batuk sehingga mengeluarkan darah,” katanya.

Seorang lagi pengawal keselamatan Istana Mahkota Hasbullah@Abdullah Abdul Rahim, 65, pula menyifatkan Ramli seorang yang baik serta suka bergurau, dan beliau tidak tahu sama ada mangsa mempunyai musuh.

Seramai tujuh saksi memberi keterangan hari ini termasuk pegawai perubatan HRPZII Dr Rosdi Omar.

Prosiding inkues disambung esok. 
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan