Istana Muammar Gaddafi di Al-Baida diselongkar



BEBERAPA pokok menghiasi kawasan pekarangan istana milik Muammar Gaddafi di bandar Al-Baida, Libya.
AL-BAIDA: Sebuah istana milik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di bandar ini diselongkar dan dirosakkan oleh kumpulan penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya, lapor stesen televisyen Al-Jazeera semalam.
Istana itu dihiasi dengan tumbuhan hijau, sebuah kolam renang tertutup, sauna dan jakuzi untuk tetamu-tetamunya.
Menurut stesen televisyn itu, istana itu dilengkapi dengan kubu bawah tanah yang dibina untuk perlindungan selama beberapa bulan jika beliau diserang dengan senjata bukan konvensional.
Kubu bawah tanah itu dilengkapi dengan sistem penapisan udara dan janakuasa untuk tujuan kecemasan.
Alat penggera kebakaran, paip air dan tangga digunakan untuk membantu pemimpin tersebut melarikan diri jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Dalam imej yang disiarkan stesen televisyen itu, beberapa orang merosakkan barang-barang yang terdapat di dalam istana tersebut.
Istana itu diceroboh selepas para penunjuk perasaan berjaya menguasai bandar ini daripada tentera upahan Gaddafi baru-baru ini.
Gaddafi kini berdepan dengan penentangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya selama hampir 42 tahun kerana sumber kekayaan negara tidak digunakan untuk membantu kehidupan rakyat yang miskin.
Kebangkitan rakyat itu didorong oleh kejayaan tunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun beliau memerintah.
Gaddafi sanggup menggunakan bedilan peluru berpandu dan tentera upahan untuk memerangi penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya namun beberapa buah bandar dilaporkan sudah jatuh ke tangan para penunjuk perasaan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan