Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat berharap usaha membawa pelajar Malaysia keluar dari Mesir bukan hanya kepada pelajar berdaftar dengan kementerian sahaja, malah semua rakyat Malaysia di sana.
Harapan tersebut dizahirkan Ketuanya, Nasrudin Hassan disamping mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang berusaha membantu membawa keluar rakyat Malaysia dari negara teluk yang sedang bergolak itu.
"Namun Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan ia adalah pertolongan yang menyeluruh tanpa diskriminasi kepada pelajar persendirian dan juga pelajar yang tidak berdaftar dengan kementerian justeru mereka juga adalah rakyat Malaysia.
Kerajaan semalam melancarkan Operasi Piramid bagi membawa keluar lebih 11,000 rakyat, terutama pelajar dari negara bergolak Mesir ke Jeddah, Arab Saudi dengan menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat dan kapal syarikat swasta ke negara itu.
Operasi diketuai Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud, membabitkan tiga pesawat C130 Hercules TUDM, sebuah pesawat Boeing 747 MAS dan Airbus A320, A330 dan A340 milik AirAsia, kapal KD Bunga Mas 5 TLDM yang berada di Teluk Aden, berhampiran perairan Somalia serta kapal dagang Malaysia International Shipping Cooperation Berhad (MISC), dijangka membawa keluar rakyat Malaysia dalam tempoh empat hingga lima hari, mulai jam 6 pagi ini waktu Mesir (kira-kira jam 12 tengah malam tadi waktu Malaysia).
Dalam perkembangan berkaitan, Gabungan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat, Jumaat ini.
Desakan itu akan dibuat dalam himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat 4 Februari ini.
Sehubungan itu, orang ramai turut dijemput hadir menyertai himpinan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan