'Kebenaran' di balik krisis PKR Sabah

sabah pkr pc 221009 02
Nampaknya banyak yang berlaku di sebalik kontroversi terbaru yang melanda PKR Sabah - yang membawa kepada tindakan ketua perhubungannya, Pajudin Nordin, 40 - yang baru dilantik kira-kira sebulan lalu - melompat parti untuk menyertai Umno Sabtu lalu.

Sebuah laporan parti yang bocor, dan dihantar kepada media terpilih melalui emel oleh seorang yang bernama Anthony Mark, mendedahkan butiran mengenai perebutan kuasa antara dua kumpulan, dengan ketua yang baru dipilih itu, terhimpit di tengah-tengahnya.

Laporan tersebut - yang disediakan oleh naib presiden PKR, Fuziah Salleh - memperincikan apa yang berlaku, dengan satu kumpulan melancarkan rampasan kuasa terhadap Pajudin, yang telah dibawa dan ditahan tanpa kerelaannya oleh satu lagi kumpulan pada malam 24 Januari.
NONE
Fuziah berada di Kota Kinabalu pada malam itu untuk mengadakan pertemuan dengan Pajudin dan 25 ketua cabang, di ibupejabat PKR negeri itu, untuk memutuskan barisan kepimpinan baru parti itu di Sabah.

Laporan itu menyebut Pajudin (kanan) dijadualkan bertemu dengan ketua-ketua cabang pada jam 8 malam tersebut untuk menyediakan senarai kepimpinan baru - sebelum Fuziah menyertai mereka pada jam 9:30 malam, untuk memuktamadkannya.

Bagaimanapun, hanya empat ketua cabang hadir, dengan 18 orang lagi yang menentang pelantikan Pajudin sebagai ketua perhubungan PKR Sabah, berkumpul di sebuah hotel berdekatan.

Mereka tidak menghadiri mesyuarat itu di ibupejabat parti kerana dikatakan mahu mengelak berdepan dengan ketua cabang Batu Sapi, Hassnar Ebrahim, yang mereka dakwa telah menimbulkan "situasi negatif" dalam pertemuan sebelum itu dengan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution.

Walaupun usaha dibuat untuk meminta 18 ketua cabang berkenaan menghadiri mesyuarat di ibupejabat parti, tetapi mereka tetap dengan pendirian mereka, dan mendesak Fuziah menemui mereka di tempat mereka berada.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan