Kita Berpecah Bukan Kerana Mazhab, Tok Pa Jangan Alihkan Perhatian

wfauzdin_ns

AKHBAR Sinar hari ini memetik kenyataan Tok Pa, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang hairan mengapa perpecahan sesama Islam berlaku di Malaysia khususnya di antara PAS dan Umno. Beliau khuatir perpecahan ini akan merebak ke tahap serius seperti yang berlaku di Bahrain, Iragh dan Lubnan.

Tok Pa menyatakan perpecahan disebabkan oleh perbezaan mazhab di antara Sunni dan Syiah di negara berkenaan memberi kesan kepada ekonomi dan keharmonian negara. Tok Pa juga kesal kerana PAS membawa isu agama yang keterlaluan. Begitulah di antara apa yang diluahkan oleh orang kuat Umno Kelantan ini.

Saya suka menjawab bahawa contoh perpecahan akibat berbeza mazhab seperti yang disebut oleh Tok Pa itu tidak pernah berlaku di negara ini. PAS dan Umno mempunyai mazhab yang sama iaitu kita bermazhab Shafie. Perbezaan PAS dengan Umno yang kununnya menyebabkan berlaku perpecahan sesama Islam ini bukan kerana perbezaan mazhab, tetapi menjurus kepada soal pokok Islam itu sendiri. PAS ingin menegakkan hukum Islam berpandukan Al-Quran dan Hadith yang semestinya berasaskan mazhab Shafie, manakala Umno secara terang-terangan menolak Hukum Islam yang diwajibkan oleh Allah untuk ditegakkan.

PAS menyeru ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran seperti amalan rasuah, amalan perjudian, sistem Riba, aktiviti maksiat dan sebagainya. Manakala Umno tidak peka kepada ini semua bahkan pemimpin yang mereka sendiri tahu pernah mengamalkan rasuah dipilih untuk menjadi pemimpin besar. Jika tidak percaya cuba tanya Ali rustam, Khairi Jamaludin atau Isa Samad. Siapa kerajaan yang meluluskan lesen judi terbesar di Genting dan Lesen Kilang Arak terbesar di Shah Alam?

Dari segi aspek perundangan, PAS bercita-cita untuk menegakkan Undang-Undang Islam termasuk Hukum Hudud. Malangnya, Umno tidak pernah bersetuju dengan hukum tersebut malahan pemimpin mereka suatu ketika pernah mengutus surat kepada Kerajaan PAS Kelantan melarang hukum tersebut dilaksanakan di negeri berkenaan. Umno masih mengekalkan akta zalim Akta ISA yang tidak memberikan keadilan kepada mangsa yang dituduh di bawah akta tersebut. Siapakah yang berusaha melarang agar kes qazaf dalam isu Liwat DS Anwar untuk dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah seperti yang diajar oleh Islam? Mengapa perlu dipersendakan hukum ini?

Sebab itu saya katakan, perpecahan sesama kita jika ada pun bukan kerana perbezaan mazhab. PAS dan Umno jauh berbeza dari segi dasar dan amalan pokok di dalam Islam itu sendiri. Oleh yang demikian, Tok Pa jangan cuba untuk mengalih perhatian kepada isu di luar negara untuk menakutkan umat Islam di negara ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan