Adik Teoh Beng Hock - Lee Lan dan peguam Gobind Singh Deo, Malik Imtiaz Sarwar dan Karpal Singh - menghadiri mesyuarat terakhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini, sebelum ia memulakan prosidingnya Isnin ini.
Lee Lan, dengan ditemani Gobind (foto), tiba jam 3 petang, manakala
anggota panel tersebut tiba 15 minit kemudiannya di kompleks mahkamah Jalan Duta.
Kira-kira jam 4.40 petang, Lee Lan dan para peguam beredar selepas mengadakan perbincangan selama 15 minit dengan panel tersebut.
Ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah, Karpal memberitahu wartawan bahawa pihaknya memandang berat tarikh siasatan bermula, dan telah menyatakan pandangan mereka mengenainya kepada RCI.
"Ada banyak kes pada (14 Februari)... dan ada semakan (penghakiman terbuka inkues kematian Teoh) di Mahkamah Tinggi," kata Karpal.
Beliau menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah lebih kuat daripada RCI.
Gobind berkata, para peguam belum lagi menyemak senarai saksi, tetapi ia akan diselesaikan pada hari Isnin.
Lee Lan sebelum ini telah meminta RCI, yang ditubuhkan pada 26 Januari, supaya menjalankan siasatan secara adil, profesional dan telus.
Beliau juga menyuarakan kekecewaannya kerana kerajaan berdiam diri terhadap tuntutan keluarganya supaya melantik empat lagi individu yang disyorkan oleh badan sivil, sebagai anggota RCI.
Laporan mengenai prosedur SPRM
Mesyuarat hari ini dijangka menerima laporan dari pegawai penyiasat mengenai prosedur Suruhanjaya Pencegahan Siasatan Malaysia (SPRM) dan agensi yang sama, untuk tujuan perbandingan.
Teoh yang merupakan pembantu kepada exco kerajaan Selangor,
ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas disoalsiasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan tersebut.
RCI yang diketuai oleh hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong, dijangka menyelesaikan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April.
Siasatan RCI akan dijalankan dari hari Isnin hingga Jumaat setiap minggu.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan