Pelajar tingkatan lima dan empat yang lain ditahan bersama ganja RM240,000

George Town: Seorang pelajar tingkatan lima adalah antara lima lelaki yang ditahan dalam satu operasi membabitkan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM240,000 di George Town kelmarin.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Supt S Batumalai berkata kelima-lima mereka yang berusia antara 17 dan 50 tahun ditahan kira-kira pukul 5 petang di Jalan Air Itam.


"Berdasarkan maklumat awam dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta jenis Honda yang dinaiki oleh empat lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Air Itam di George Town.


"Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis menemui ketulan dadah seberat 61.3 kilogram bernilai kira-kira RM240,000 yang disembunyikan dalam satu ruang dalam kereta," katanya pada sidang akhbar, di George Town hari ini.


Beliau berkata polis juga menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan mengekori kereta tersebut, dipercayai mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.


Batumalai berkata siasatan mendapati dadah itu adalah untuk edaran di sekitar negeri ini.


Salah seorang daripada mereka juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.


Beliau berkata kesemua lelaki terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan