Polis Melampau Tahan Penunjuk Perasaan


KUALA LUMPUR, 4 FEB: Penangkapan tujuh lelaki dalam himpunan besar-besaran membantah campur tangan Amerika Syarikat ke atas pentadbiran Mesir disifatkan tindakkan melampau polis ke atas perhimpunan rakyat oleh Peguam Hak Asasi Manusia, Fadiah Nadwa Fikri.

Fadiah berkata, selain menangkap tujuh orang berkenaan selepas perhimpunan, polis juga dilaporkan bertindak memukul dan meludah ke arah peserta perhimpunan ini.

"Tindakkan polis ini memang salah disisi undang-undang, kerana peserta-peserta perhimpunan telah pun bersurai pada ketika itu, Polis kemudian datang dan membelasah beberapa orang, kita dapat maklumat ada beberapa saksi melihat ada polis yang membelasah dan meludah ke arah mereka yang bersurai ini, di tangkap dan ada yang dipukul sebelum di muatkan ke dalam trak.

"Di mana polis memang bertindak diluar kawalan, tidak langsung mengikut undang-undang dan tidak memastikan hak-hak mereka yang berhimpun ini dijaga," katanya.

Tambahnya lagi, perhimpunan tersebut berlangsung aman dan peserta perhimpunan bersurai setelah berjaya menyerahkan memorandum tersebut.

Namun pihaknya kecewa dan tidak faham kenapa polis bertindak ganas sedangkan kesemua peserta sedang bersurai.

"Semua sedang bersurai dan saya sendiri ada dalam perhimpunan tadi, dan semasa saya bersurai itu, tiba-tiba polis datang dan membelasah peserta-peserta perhimpunan, kita pun tidak faham kenapa pihak polis perlu bertindak macam itu," katanya.

Kira-kira 5,000 orang yang diketuai oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor bagi menyerahkan memorandum di Kedutaan Amerika Syarikat, membantah campur tangan kerajaan itu terhadap pentadbiran Mesir. 

Memorandum itu untuk mendesak Amerika Syarikat di bawah pimpinan Barack Obama menggunakan kuasa 'memaksa' Hosni Mubarak supaya melepaskan jawatannya segera.

Setelah berjaya menyerahkan memorandum tersebut, peserta perhimpunan kemudiannya mengambil keputusan bersurai. 

Mengulas situasi yang berlaku, Fadiah berkata beliau juga nyaris ditangkap polis ketika dalam cubaan berjumpa Ketua Polis bertugas bagi mendapatkan butiran anak guamnya yang ditahan.

"Ketika saya pergi ke trak polis bersama dengan ahli keluarga mangsa yang ditangkap untuk berjumpa OCPD bagi mendapatkan butiran anak guam saya, di hadapan FRU itu juga dia menjerit supaya saya sendiri ditangkap, walaupun saya sebagai peguam," katanya.

-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan