Saksi enggan kerjasama, tak faham soalan – Sankara Nair

Fadli
KUALA LUMPUR: Peguam Sankara Nair kesal terhadap saksi yang didakwa pakar analisis DNA, Dr Seah Lay Hoong kerana kelihatan seperti kurang faham dengan soalan yang dikemukakan hari ini serta enggan memberi kerjasama sewaktu sesi soal balas pasukan peguam bela.

“Kita tanya garis panduan apa yang digunakan dan sama ada ia merupakan garis panduan Malaysia, dan jika ya, adakah ia sama dengan garis panduan antarabangsa.

“Dia boleh jawab, tetapi kita lihat pada bahagian tertentu, dia kata dia tak mahu jawab,” kata Sankara kepada pemberita selepas mahkamah ditangguhkan pada jam 4.17 petang tadi dan bersambung semula Isnin ini.

Beliau juga kesal apabila peguam bela Anwar bertanya sesuatu yang jelas dan boleh dijawab secara terus, Dr Seah memilih untuk menjawabnya secara kabur-kabur.

“Sebagai contoh, apabila ditanya Karpal (Singh), adakah beliau mengikuti garis panduan persatuan forensik genetik antarabangsa yang dianggotainya dalam menjalankan analisis, dia (Dr Seah) bertanya Karpal kembali apakah garis panduan itu?”.

Menurut Sankara, selaku peguam yang bukan anggota persatuan forensik genetik tersebut, adalah mustahil untuk mereka menjawab soalan itu.

“Dia adalah pakar DNA, kenapa tanya kita semula? Dialah yang patut jawab,” tegas Sankara.

“(Akhirnya) dia kata dia tak mahu jawab soalan itu. Ini menunjukkan dia tak berapa faham atau tak nak bagi kerjasama.

“Ini tak betul. Semua saksi perlu kerjasama atau hakim perlu bagi perhatian agar saksi tidak menyembunyikan sesuatu,” kata Sankara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan