Wartawan cemas disekat kumpulan bersenjata

Rombongan wartawan dan anggota Kelab Putra 1Malaysia mengalami saat-saat yang cukup mencemaskan di sini malam tadi apabila van yang mereka naiki ditahan oleh sekumpulan pemuda tempatan yang bersenjatakan batang besi dan kayu dan beberapa senjata lain.

Kumpulan itu menggeledah van, merampas pasport mereka, dan keadaan menjadi tegang bila seorang pemuda cuba mengambil wang milik seorang pegawai wanita dari Jabatan Imigresen Malaysia yang menumpang van.

Kejadian berlaku ketika rombongan itu dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan setelah pemberita dan jurugambar Malaysia selesai membuat liputan urusan berlepas para pelajar dan warga Malaysia di Lapangan terbang Antarabangsa Kaherah, berikutan pergolakan di Mesir.

Semua warga Malaysia yang berlepas itu dijadual mendarat di Jeddah, Arab Saudi, sebelum pulang ke tanah air.

Sekatan itu berlaku pada pukul 10 malam waktu tempatan (4 pagi Sabtu waktu Malaysia) di lebuhraya bertingkat berhampiran Tahrir Square (Dataran Merdeka), terhadap 12 wakil media, empat anggota Kelab Putra 1Malaysia dan seorang pegawai imigresen Malaysia.

Van itu disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Mesir.

Mujur, pemuda berkenaan yang berkulit cerah akhirnya memulangkan semula wang tersebut apabila dibantah oleh beberapa anggota rombongan dan juga rakannya.

Wartawan Bernama, Luqman Nul Hakim Mazlan bernasib baik kerana komputer riba yang dibawanya untuk digunakan dalam tugasan tidak diapa-apakan.

Setelah puas menggeledah, kumpulan pemuda itu mengarahkan pemandu van, seorang warga Mesir, ke satu pusat pemeriksaan dan rombongan dilepaskan setelah diperiksa di balai Polis Tentera.

Semua pasport dikembalikan kepada anggota rombongan.

Rombongan itu terpaksa melalui hampir 30 sekatan jalan dan setiap kali ditahan mengalami kesukaran yang hampir sama sehingga mereka mengambil masa tiga jam untuk sampai ke hotel yang jarak perjalanan hanya 30km.

Dalam pada itu rombongan difahamkan, kenderaan rasmi yang membawa Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, yang bertolak dari lapangan terbang itu setengah jam kemudian, terpaksa berpatah balik apabila turut menghadapi masalah sekatan jalan.

M.Hamzah Jamaludin wartawan New Straits Times yang telah membuat liputan mengenai tunjuk perasaan anti-Mubarak di Mesir sejak beberapa hari lalu, berkata sekatan oleh orang awam kini menjadi perkara biasa.

"Mereka kini semakin berani kerana sebelum ini mereka tidak memeriksa beg terutamanya milik wanita," katanya.

Jurugambar kumpulan NSTP Fauzan Jaafar berkata jurugambar dan jurukamera tidak berani membawa bersama kelengkapan tugas mereka kerana bimbang dirampas oleh pihak tertentu.

"Saya terpaksa meninggalkan peralatan di dalam kereta rasmi Duta Malaysia untuk dibawa ke hotel demi keselamatan," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan