Yemen pula gelora, 20,000 sertai ‘hari berang’ di ibu negara


Presiden Yemen Ali Abdullah Saleh berucap di Parlimen semalam menawarkan untuk berundur pada 2013 tetapi terus dibantah oleh pembangkang. – Foto Reuters
SANAA, 3 Feb: Lebih 20,000 rakyat Yemen membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara Sanaa hari ini – menamakan himpunan sebagai “hari berang” sambil menuntut perubahan segera dalam kerajaan dan menganggap tawaran Presiden Ali Abdullah Saleh semalam untuk berundur pada 2013 tidak cukup. 

Protes di kawasan-kawasan lain di Yemen juga dijangkakan selepas ini – mirip perkembangan di negara utara Afrika, Mesir.

Ali Abdullah juga seperti Presiden Mesir Hosni Mubarak memerintah negara itu lebih tiga dekad.

Hosni berhadapan dengan protes aman, berlarutan sejak 10 hari lalu tetapi bertukar menjadi ganas semalam dan mengorbankan lima orang.

Penyokong-penyokong Ali Abdullah memandu di sekitar ibu negara sambil menggunakan pembesar suara menggesa kumpulan prokerajaan agar turun untuk berhadapan dengan puak berdemonstrasi – suasana yang disaksikan di Mesir sejak semalam.

Bagaimanapun sejak awal pagi tadi, penunjuk perasaan antikerajaan Yemen sudah pun berhimpun dalam jumlah yang besar sejak protes tercetus di negara Semenanjung Arab itu dua minggu lalu – tindakan yang turut didorong oleh protes politik Tunisia.

“Rakyat mahukan perubahan rejim,” laung penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Universiti Sanaa di sini.

“Tiada rasuah, tidak kepada pemerintahan diktator,” kata penunjuk-penunjuk perasaan dipetik laporan msnbc hari ini.

Melihat pada pemberontakan yang semakin membara di dunia Arab, Ali Abdullah semalam berkata, beliau akan berundur apabila mandat kepimpinannya berakhir dalam dua tahun lagi.

Beliau juga berjanji anaknya tidak akan mengambil alih jawatan daripada beliau kelak.

“Tiada lanjutan kuasa, tidak diwarisi, tidak akan mengubah kedudukan jam,” kata beliau.

Jurucakap pembangkang Mohammed al-Sabri bagaimanapun telah menolak untuk berunding dengan Ali Abdullah sambil melahirkan kesangsian mengenai tawaran presiden itu.

Mohammed berkata Ali Abdullah pernah membuat janji yang sama pada 2006 tetapi gagal untuk memenuhinya dan bertanding semula.

Ali Abdullah memerintah Yemen sejak 32 tahun lalu.

Ia dilihat sebagai protes terbesar di Yemen, satu lagi negara rakan Amerika Syarikat dalam memerangi rangkaian Al-Qaeda.

Wael Mansour, jurucakap penganjur demonstrasi berkata hari ini, rakyat Yemen tidak berpuas hati dengan pengakuan dibuat oleh presiden mereka semalam.

“Hari ini akan ada tekanan yang lebih besar, segar ke atas Presiden Ali Abdullah, yang perlu adakan lebih banyak kompromi dengan pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan kemungkinan kompromi yang dimaksudkan.

Yemen merupakan negara paling miskin di dunia Arab dan menjadi syurga rangkaian Al-Qaeda.

Hampir separuh penduduk Yemen tinggal di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan RM6 (AS$2) sehari.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan