Apabila PM ‘kena kencing’

Rashidi Hassan
RAKYAT khususnya golongan muda harus ‘membuka mata’ bahawa Barisan Nasional sudah semakin tidak relevan untuk memerintah negara.BN sudah tidak relevan bukannya sekarang, malah “dah lama dah,” seperti kata Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad sewaktu menyatakan hasratnya untuk berundur dari politik.

Dr Mahathir (kini Tun) bersama seorang lagi bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mereka sama-sama tidak cekap, tidak cerdik dan tidak berhati-hati kerana dengan mudah ditipu oleh rakan-rakan Menteri dari MCA. Dalam istilah anak-anak muda, kedua-dua PM yang semasa itu menjadi Presiden Umno, sudah ‘kena kencing’.

Bukan Mahathir dan Abdullah sahaja yang salah, malah seluruh anggota Kabinet Malaysia adalah mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan berdosa kepada seluruh rakyat Malaysia, kerana mereka membenarkan diri mereka ‘dikencing’.

Presiden MCA Dato’ Seri Dr Ling Liong Sik ketika itu (Tun) didakwa menipu Dr Mahathir, manakala Dato’ Seri Chan Kong Choy (Tan Sri) yang menjawat Timbalan Presiden MCA, menipu Abdullah.

Pada 29 Julai, 2010, Dr Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Dr Ling, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Septemper 2002 dan 6 November 2002.

Manakala, Kong Choy pada Isnin lalu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menipu bekas PM Abdullah berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dia didakwa mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Yang mendakwa mereka menipu bukan Pakatan Rakyat, tetapi Peguam Negara yang menyeret mereka ke muka pengadilan.

Liong Sik dan Kong Choy didakwa menipu bekas-bekas PM tersebut dalam skandal PKFZ yang menelan kerugian berbilion ringgit.

Skandal PKFZ m e n d e d a h k a n betapa hebatnya jalinan kerjasama Umno-MCA untuk menipu rakyat Malaysia dan menghabiskan wang rakyat.

Hari ini rakyat, mahu tahu benarkah Ling Leong Sik menipu Mahathir dan Kong Choy menipu Abdullah?

Pendakwaan ke atas kedua-dua bekas Menteri Pengangkutan itu mengundang persepsi apakah PM begitu bodoh? Apakah pegawaipegawai di Jabatan Perdana Menteri, khususnya Unit Perancang Ekonomi (EPU) tidak meneliti projek besar PKFZ yang hanya mengundang kerugian besar?

Mana dia pemimpin Umno yang mendabik dada mereka cekap menguruskan ekonomi? Skandal PKFZ adalah lambang kebodohan Umno-MCA-BN menguruskan wang rakyat.

Persoalan yang ditanya rakyat, apakah benar tiada kajian yang teliti dibuat oleh EPU atau ada tangantangan politik yang mengarahkan projek itu ‘dibulldoze’ untuk kepentingan pihak tertentu? Persoalan yang juga harus ditanya kepada kerajaan ialah, apakah hanya MCA sahaja yang terbabit dalam PKFZ atau, Umno juga terlibat, tetapi menjadikan MCA sebagai scapegoat?

Kalau MCA menjadi ‘kambing hitam’ Umno dan dipersalahkan oleh Umno, maka seluruh anggota dan kepimpinan mereka patut malu dan marah dengan Umno. Elok jika Chua Soi Lek dan rakan-rakannya membawa MCA keluar dari BN.

Kerana kedua-dua pertuduhan ke atas bekas Presiden MCA dan bekas Timbalan Presiden MCA ini, adalah suatu pertuduhan yang amat serius. Ia adalah skandal besar, penipu besar dan penyangak besar yang bukan menipu seringgit dua, malah berbilion wang rakyat.

Atau MCA juga sedia menjadi seperti Umno, rela dilabel parti penyangak dan penipu wang rakyat? Pada pengamatan penulis, sebelum ini ramai orang beranggapan bahawa Dr Mahathir semasa menjadi PM adalah seorang pemimpin yang pintar dan teliti. Abdullah juga dikeliling oleh anak menantu yang berkelulusan bukan calang-calang cerdiknya.

Malulah Mahathir dan Abdullah, PM yang cerdik pun kena tipu, apatah pula anggota Kabinet, MT Umno dan Jawatankuasa Pusat MCA. Sama ada mereka tertipu atau mereka semua geng penipu.

Penipuan kedua-dua Tun dan Tan Sri ini, membabitkan ribuan juta wang rakyat adalah serius dan harus dijawab dengan telus oleh kerajaan PM Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sementara itu, adalah disarankan agar Istana Negara mengambil pendekatan yang sama dengan Istana Selangor, iaitu menggantung sementara gelaran Tun, Tan Sri, Dato’ Seri atau Dato’ bagi mereka-mereka yang terbabit dalam jenayah, sehingga nama mereka dibersihkan.

Malah mereka yang terbabit ditipu juga harus bertanggungjawab memulangkan sementara gelaran mereka, kerana mereka bersubahat melakukan jenayah menipu wang rakyat, sehingga mereka benar-benar bersih.

Dalam masa yang sama, Mahathir dan Abdullah serta pegawaipegawai EPU harus disiasat oleh SPRM. Semua mereka harus disapina ke mahkamah, sehingga dibuktikan mereka tidak bersalah.

Saranan kepada Tun Dr Mahathir, berhentilah ‘menyalak’, berhentilah membuat kenyataan yang merapu, berhentilah menghentam PAS dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lagi banyak ‘atuk’ bercakap, lagi banyak ‘tahi atuk’ bersepah. Ingatkan wahai mantan PM, bahawa rakyat sesekali tidak akan rela anda dan rakan-rakan anda dilepaskan dari muka pengadilan, di atas skandal penipuan besar ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan