Hata didakwa 'berniat jahat' terhadap Utusan

Ketua pengarang kumpulan Utusan Aziz Ishak hari ini mendakwa wartawan kanannya Hata Wahari mempunyai niat jahat terhadap akhbar tersebut.

Dakwaan itu ditimbulkan dalam siasatan dalaman ke atas Hata yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), ekoran kenyataan yang dibuat oleh wartawan berkenaan sebelum ini.

Hata berkata, Aziz mengakui bahawa dakwaan itu berdasarkan persepsi terhadapnya.

"Dia berkata ini semua berdasarkan persepsinya. (Aziz berkata) semua kenyataan yang saya keluarkan mempunyai niat jahat terhadap Utusan.

"Saya bukan cakap mengenai Utusan saja, tapi juga mengenai akhbar lain," kata Hata ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hata juga berkata, Aziz tidak menjelaskan kenyataan yang didakwa menunjukkan "niat jahat" itu.

"Tapi dia tetap katakan, berdasarkan persepsi dia, saya ada niat jahat terhadap Utusan.

"Dia kata kenyataan saya bertentangan dengan polisi syarikat yang perlu menunjukkan aspirasi terhadap BN dan Umno dalam laporan beritanya," tambahnya.

Katanya, Aziz telah memberi kenyataan tersebut pagi ini dalam siasatan yang dijalankan di pusat latihan syarikat itu di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Utusan diwakili dua orang wakilnya yang menjalankan pendakwaan.

Hata berkata, beliau melakukan pemeriksaan balas ke atas Aziz dalam siasatan yang bersambung semula petang ini.

Hata mewakili dirinya dalam pendengaran hari ini memandangkan beliau dihalang untuk menggunakan khidmat wakil NUJ untuk pembelaan.

Aziz merupakan saksi pertama yang dipanggil dalam siasatan dalaman ke atas Hata hari ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan