Kemasukan 45,000 pekerja asing sempitkan peluang kerja warga tempatan


KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan meluluskan kemasukan seramai 45,000 pekerja asing di sifatkan sebagai langkah yang tidak bijak  kerana akan menyempitkan peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia terutama generasi muda tempatan.
“Bagi saya tindakan ini adalah bersikap terburu-buru, tidak bijak malahan tidak menguntungkan akan tetapi merugikan Kerajaan dan rakyat keseluruhanya.Ini  kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu, akan tetapi kini ia dilihat tersasar,” kata Ketua Srikandi Keadilan, Siti Aisyah Shaik Ismail.
Beliau mengulas keputusan kerajaan baru-baru ini yang meluluskan seramai 45,000 pekerja asing daripada 90,000 yang kebanyakannya warga India, hasil perbincangan dengan Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).
Warga asing berkenaan diambil untuk mengisi pekerjaan di sektor perusahaan restoran, kedai runcit, dan industri tekstil dengan alasan sukar mendapatkan pekerja tempatan.
Justeru Aisyah menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam memberikan laporan penuh berhubung peratusan peningkatan pekerja asing selepas kelulusan tersebut.
Menurutnya, ini kerana Malaysia kini mempunyai jumlah peratusan pekerja asing yang cukup tinggi iaitu 9.7 peratus pada tahun 2009 atau bersamaan dengan 1.03 juta orang dan lambakan pendatang asing yang juga cukup tinggi iaitu 7.1 peratus pada tahun yang sama.
“Untuk itu saya juga menyatakan kebimbangan sekiranya keputusan ini akan menjadikan ruang pekerjaan di kalangan generasi muda akan semakin sempit.
“Kerajaan seharusnya memikirkan bahawa sekiranya kesemua sektor yang dinyatakan itu diperbaiki dan di tata kelolakan dengan baik maka saya yakin generasi muda akan mempunyai tarikan dan minat walaupun untuk bekerja di sektor kecil seperti itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan