Lambakan ribuan akhbar harian petanda apa?

LanH
PUJIAN perlu diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan polis kerana perancangan kemas pada hari penamaan calon Dun Merlimau pada Sabtu, 26 Februari lalu. Akibat pembahagian ketat kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) dan kumpulan parti PAS, KeADILan dan DAP, kedua-dua pihak tidak bertemu langsung di pekarangan Politeknik Merlimau pada pagi bersejarah itu.

Saya yang hadir pada majlis itu tersepit di celah-celah penyokong BN kerana memilih laluan ke pekan Merlimau melalui jalan lama Melaka-Muar. Ini adalah laluan penyokong BN manakala penyokong PAS, KeADILan dan DAP memasuki Merlimau menggunakan Jalan Jasin-Merlimau dari Lebuh AMJ dan juga Lebuh Raya Utara-Selatan.

Jadi pada pagi itu saya tidaklah nampak kekuatan penyokong PAS yang mengemukakan calonnya, Yuhaizad Abdullah dan juga pemimpin-pemimpin mereka. Saya hanya tahu apa yang berlaku pada pihak penyokong BN.

Pada kira-kira jam 8 pagi, ketika menghampiri pekan Merlimau, kereta buruk saya dipotong oleh barisan kereta-kereta hebat orang kuat BN. Banyak kereta berkenaan berwarna putih. Kebanyakannya memasang lampu kecemasan.

Dalam hati saya berbisik, berlagak sungguh orang BN ini. Inikah puak-puak yang hendak dipilih rakyat. Di atas jalan raya pun sudah eksyen, seolah-olah mereka saja hendak segera sampai ke destinasi; mereka mesti didahulukan tidak langsung sejajar slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Saya cuba bersangka baik. Alaaa, mungkin saya saja bersangka begitu, orang lain tidak. Mungkin juga mereka ini dalam kecemasan, manalah tahu ada orang nak bersalin yang mahu ditolong mereka. Atau dalam kereta mereka ada orang nak beranak. Jadi saya pun pujuk diri sendiri, ‘bersabaulah’, banyak pahalanya.

Selepas melepasi Kampung Tedong, keadaan jalan raya bertukar, permukaannya bertar tebal. Hitam, berkilat. Sahlah saya sudah memasuki kawasan pilihan raya Merlimau. Lambang dacing pun sudah banyak bergantungan. Sepanjang perjalanan dacing saja, hebat dan banyak duit betul orang dacing ini.

Jauh juga saya terpaksa berjalan selepas memakir kereta. Saya berjalan berdedai-dedai bersama-sama penyokong BN. Kebanyakan lelakinya berbaju putih dengan lambang dacing di dada. Wanita Umno dengan kain atau seluar panjang dan tudung merahnya.

Kebanyakan Puteri Umno dengan jeans ketat dan baju merah jambunya. Sebahagian berkemeja-T berlengan singkat namun di kepala ada tudung. Mungkin mereka fikir rambut perlu ditutup tetapi lengan dan bentuk tubuh seperti punggung yang disaluti jeans ketat, biarlah dipandang orang puas-puas.

Pusat operasi BN terletak di sebelah Masjid Asy-Suja’ah yang terletak bertentangan dengan Politeknik Merlimau. Sebaik saja saya sampai di situ, terdengar pengumuman bahawa perarakan akan dimulakan. Berjalanlah satu demi satu kumpulan BN, kelihatanlah orang Melayu, Cina dan India; lelaki dan wanita bergerak dengan diiringi lagu BN yang bergema kuat. (SPR, sila ambil perhatian; tolong pastikan bunyi bising pusat operasi BN ini tidak menggangu jemaah Masjid Asy-Suja’ah).

Jarak perjalanan mereka tidak jauh, akhirnya mereka berhimpun di atas jalan menghadap Politeknik Merlimau. Dalam menunggu itu pelbagai gelagat dapat disaksikan termasuklah bertepuk tampar lelaki perempuan. Pemuda BN mengusik Puteri Umno, puteri tak macam gadis dulu yang pemalu sebaliknya ketawa berdekah-dekah. Ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan pemimpin termasuk di peringkat Pusat.

Nun jauh di sana, dalam jarak 300 meter adalah penyokong PAS, KeADILan dan DAP. Selain ada pagar menghalang kemasukan penyokong, ruang kosong itu dikawal ketat sejumlah anggota polis. Jarak terlalu jauh, jadi tidak boleh penyokong kedua-dua pihak menjerit atau membaling objek ke pihak lawan.

Ketika duduk-duduk menunggu itu, ada kumpulan anak-anak muda mengedar bahan kempen dan apa yang begitu mengejutkan saya lambakan ribuan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tajuk kedua-dua akhbar ini adalah mengenai harga minyak tidak naik. Utusan Malaysia dengan tajuk besar ‘RM10.3b kekalkan RON95’ manakala Berita Harian, ‘Ringan beban rakyat’.

Hairan juga saya dengan cara berfikir editor-editor akhbar ini. Sepatutnya yang jadi berita besar adalah MINYAK NAIK HARGA kalau minyak tak naik harga, itu bukan berita utama. Bukankah kita belajar anjing gigit posmen itu bukan berita tetapi posmen gigit anjing itu berita hebat.

Tidaklah saya tahu sama ada penerbit akhbar-akbar ini memilih untuk melambakkan akhbar-akhbar mereka pada hari penamaan calon atau ada kumpulan atau individu yang menajanya. Saya bertanyakan seorang pemuda mengenai hal itu, dia hanya berkata dia dapat upah RM50 membawa seterusnya mengagih-agihkan akhbar berkenaan.

Apabila ribuan akhbar arus perdana dilambakkan pada hari penamaan calon, berbagai-bagai tafsiran boleh dibuat mengenainya. Antaranya adalah Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah menjadi cawangan Umno atau BN; adakah jualan akhbar-akhbar ini sudah terlalu teruk sehingga terpaksa diedar percuma; dan di mana letaknya maruah dan kredibiliti akhbar-akhbar ini?

Sebagai ‘kaki baca’ saya untung besar hari itu kerana membawa pulang setimbun bahan bacaan percuma termasuk empat akhbar harian, yang mengambil masa saya sehingga tengah malam untuk habis membacanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan